Anda di sini

Balikpapan kian mapan, Samarinda semakin indah

Advertisement
 Penulis (dua kanan) bergambar bersama Pegawai Perhubungan Tentera Malaysia di Samarinda, Kapten Kamarul Ariffin Ajhman (tiga kanan), Saibi (tiga kiri) dan Jeremy (kanan). Turut kelihatan dua anggota tentera, Kpl Saham Yak (dua kiri) dan Kpl Esron Laidin (kiri) ketika kunjungan ke pejabat MMLO Samarinda semalam.
KENANGAN: Penulis (dua kanan) bergambar bersama Pegawai Perhubungan Tentera Malaysia di Samarinda, Kapten Kamarul Ariffin Ajhman (tiga kanan), Saibi (tiga kiri) dan Jeremy (kanan). Turut kelihatan dua anggota tentera, Kpl Saham Yak (dua kiri) dan Kpl Esron Laidin (kiri) ketika kunjungan ke pejabat MMLO Samarinda semalam.

BERSIH, indah, aman dan tenang. Memang itulah persepsi setiap orang yang kali pertama menjejaki Balikpapan, kota kedua terbesar selepas Samarinda di Kalimantan Timur (KALTIM).

Justeru, tidak hairan jika Balikpapan mendapat jolokan Kota BERIMAN, iaitu akronim kepada 'Bersih, Indah Aman dan Nyaman.'

Sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aji Muhammad Sulaiman petang kelmarin menuju ke dada kota, laluannya sungguh bersih terjaga rapi, dihiasi seni taman mempersonakan, sekaligus memberikan kita ketenangan jiwa sepenuhnya.

Rakan setugas, Saibi Gi dan Jeremy Veno, juga menghayati panorama itu sambil merakam dengan lensa masing-masing.

Dari pengamatan saya, Balikpapan adalah sebuah kota pesat membangun. Bangunan kotanya serba moden, dengan banyak mercu tanda kemajuan menongkat langit serata tempat. Malah, lapangan terbangnya saja antara yang termoden dan tercantik di seluruh Indonesia.

Saya optimis Balikpapan memangnya mengamit setiap orang untuk kembali datang.

Berkeluasan lebih 503,000 km persegi dan berpenduduk sekitar 750,000 orang, kota berlambangkan beruang madu ini juga menggunakan motto 'Balikpapan Kubangun, Kujaga, dan Kubela' yang menjadi pegangan warganya. 

Kekuatan semangat penduduk ditambah lagi dengan semboyan 'Gawi Manuntung Waja Sampai Kaputing' yang bermaksud 'apabila memulai suatu pekerjaan, harus sampai selesai.'

Yang pasti, saya tidak menemukan papan terbalik di sini, jauh sekali meja terbalik. Semuanya baik-baik dan indah belaka.

Selepas singgah semalam di Balikpapan, kami meneruskan kembara jurnalistik berkereta ke Samarinda, ibu kota dan pusat pentadbiran utama KALTIM yang menempatkan pejabat Gabernur selaku pemerintah wilayah.

Selepas pemanduan kira-kira tiga jam, kami tiba di kota ini, disambut kejutan dengan pembangunan yang sungguh menakjubkan.

Nyata bahawa pembangunan wilayah KALTIM ini sedang rancak. Malah, sebuah lebuhraya baharu menghubungkan Balikpapan-Samarinda sedang dibina. Ia dijangka siap tidak lama lagi.

Dari pengamatan dan tinjauan awal kami mendapati KALTIM sudah bersedia menjadi ibukota baharu Indonesia, biarpun lokasi sebenarnya masih menjadi tanda tanya.

Dua tempat disebut-sebut di perantaraan Balikpapan dan Samarinda - Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara - sebagai bakal menjadi lokasi ibu kota baharu Indonesia.

 Pemandangan udara kota Samarinda yang pesat membangun, mengamit kedatangan pelancong dan pengunjung.
MEMBANGUN: Pemandangan udara kota Samarinda yang pesat membangun, mengamit kedatangan pelancong dan pengunjung.

Kami melewati kedua-dua tempat itu dalam perjalanan dari Balikpapan ke Samarinda. Kawasannya dilitupi hutan tebal, di antara kawasan datar dan sedikit belahan berbukit.

Jalannya bengkang-bengkok seperti dari Tamparuli ke Ranau di Sabah

Rancangan pemindahan ibu negara dari Jakarta, bandar raya sesak yang mempunyai populasi lebih 10 juta penduduk itu, diumumkan secara rasmi oleh Presiden Joko Widodo di Parlimen Indonesia bulan lalu.

Ia dibuat atas beberapa sebab, termasuk terdedah kepada banjir dan berisiko tenggelam.

Mengikut perancangan, pembangunan ibu kota baharu itu mengutamakan aspek kelestarian/sustainable alam sekitar menerusi konsep 'smart, green, beautiful city'.

Kawasan baharu itu mempunyai keluasan lebih 3,000 hektar persegi tanah milik kerajaan, berbanding 700 kilometer persegi Jakarta.

Yang pastinya, ibu kota baharu Indonesia itu tetap akan berpindah ke Pulau Borneo yang turut dikongsi bersama Sabah dan Sarawak (Malaysia) dan Negara Brunei Darussalam. Cuma bila ia jadi realiti sepenuhnya masih tidak dapat dipastikan.

Tatkala ibukotanya berpindah kelak, bermakna jaraknya semakin hampir dengan kita, terutama bandar terdekat Tawau di pantai timur Sabah dan Balikpapan di sebelah utara Penajam Paser Utara. Demikian juga bagi Sarawak yang berdekatan sempadan Tebedu ke Pontianak, kemudian menerusi hubungan udara ke Balikpapan.

Bagi kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak, pemindahan pusat pentadbiran Indonesia ke Kalimantan Timur memberikan dinamika baharu, terutama dari segi ekonomi dan kepentingan strategik lainnya seperti aspek keselamatan.

Ini kerana, mahu tidak mahu, pemindahan ini memberikan persaingan antara Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan dari segi aktiviti dan ekonominya.

Wilayah kepulauan Borneo keseluruhannya bakal menjadi satu magnet ekonomi yang amat kuat dalam konteks serantau.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyifatkan cadangan pemindahan ibu kota Indonesia itu disambut baik, malah bersedia untuk menerima 'tempias' ekonomi secara mapan.

Ketika ditemui di Kota Kinabalu baru-baru ini, beliau optimis bahawa kegiatan ekonomi antara wilayah akan berkembang maju, seiring pembangunan di Kalimantan nanti.

 Pintu gerbang di Balikpapan memaparkan statusnya sebagai sebuah kota yang bersih, indah, aman dan nyaman.
KOTA BERIMAN: Pintu gerbang di Balikpapan memaparkan statusnya sebagai sebuah kota yang bersih, indah, aman dan nyaman.

Dengan pemindahan ibu kota ini juga, aktiviti ekonomi dijangka bertambah rancak di Wilayah Kalimantan. Kos pemindahan pusat pentadbiran itu saja memerlukan anggaran belanjawan yang sangat besar iaitu mencecah 466 trilion rupiah (RM136 bilion).

Mengikut laporan, kerja-kerja pembangunan dijangka siap menjelang tahun 2021 dan pemindahan fasa pertama bermula pada 2024.

Nantinya, Balikpapan akan berkembang mapan dan Samarinda bertambah indah tatkala ibukota mencipta nama baharu. Selamat tinggal Jakarta dan Pulau Jawa, kini saatnya tiba buat KALTIM pula di Pulau Borneo.

  • oleh
  • Advertisement