Anda di sini

Antara kisah kasut disangka ikan dan zip berharga RM30

Advertisement
 Saibi (kiri) memerhati kakitangan syarikat penerbangan memeriksa begnya yang terkopek ketika membuat aduan.
PERIKSA: Saibi (kiri) memerhati kakitangan syarikat penerbangan memeriksa begnya yang terkopek ketika membuat aduan.

DUA hari pertama kembara kami merentasi Pulau Borneo, sudah mengukir kisah lucu tapi benar, pelik dan mengesankan. 

Mulanya saya berhasrat menyimpan catatan ini untuk perkongsian di akhir kembara. Tapi risau kalau-kalau banyak lagi pengalaman baharu dilalui sehingga lupa jalan ceritanya. Maka biarlah ia menjadi catatan awal, sedang perjalanan kami masih jauh untuk selesai.

Kisah lucu tapi benar berlaku pada hari pertama. Beg rakan setugas, Jeremy Veno, ditahan untuk pemeriksaan pihak berkuasa kastam sejurus kami tiba di Lapangan Terbang Supadio Pontianak, apabila mesin pengimbas mengesan apa yang mereka lihat sebagai objek mencurigakan.

Akur dengan undang-undang pemerintah Indonesia, Jeremy mengikut arahan membawa beg ke satu sudut untuk dibuka bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Pegawai kastam memaklumkan bahawa pihaknya mencurigai ada sesuatu dalam beg bagasi itu, justeru penelitian perlu dilakukan. 

"Apakah bapak ada membawa ikan," demikian pertanyaan pegawai itu. Suaranya perlahan penuh sopan, tapi pantas mengejutkan Jeremy yang kemudian mengelengkan kepala tanda membantah andaian itu.

Selepas Jeremy membuka beg bagasi, pegawai itu mengambil satu bungkusan plastik sayur berwarna merah di dalamnya, lalu membawa ke mesin pengimbas sekali lagi.

Selang beberapa minit, pegawai itu datang mengembalikan bungkusan itu kepada Jeremy.

Misteri yang menyelubungi plastik hitam berwarna gelap itu terjawab apabila imbasan kedua mendapati ia hanyalah sepasang kasut kulit berwarna hitam yang dibungkus dan diletak berdekatan kotak plastik seperti kaca, iaitu cenderamata untuk kami berikan kepada Gabernur Kalimantan Timur.

Mungkin kerana bentuk membujur kasut kulit itu menyerupai ikan dan kebetulan diletak berdekatan kotak kaca menyerupai akuarium dalam sebuah beg bagasi, maka ia disangkakan sebagai ikan dalam akuarium. 

Penguatkuasaan undang-undang Indonesia melarang kemasukan ikan ke negara itu tanpa kebenaran. Setiap penumpang diwajib mengisi borang kastam dan mengisytiharkan senarai barang dibawa bersama.

Dari Pontianak, kami bertiga terbang ke Balik Papan lewat petang Isnin. Selepas menempuh penerbangan kira-kira satu jam 30 minit di ruang udara berjerebu, kamipun mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Balikpapan, di pinggir laut menghadap Selat Makkasar.

Oleh kerana ia adalah penerbangan domestik, urusan lebih mudah kerana tidak perlu melewati pemeriksaan imigresen dan kastam.

Namun, malang menimpa seorang lagi sahabat, Saibi Gi. Beg bagasinya paling akhir sampai ke ruangan mengambil bagasi, itupun dalam keadaan terkopek dengan zipnya terbuka.

Seorang wakil ejen syarikat penerbangan yang kami naiki kemudian tampil membantu. Selepas mendaftarkan aduan ke pejabat agensi penerbangan itu, Saibi mengisi borang tuntutan gantirugi.

Dengan pertimbangan dan penilaian pegawai bertugas, pihak syarikat penerbangan terbabit bersetuju membayar ganti rugi. Jumlahnya berapa? Selepas penilaian kerosakan zip itu, ganti rugi dipersetujui pada kadar Rp100,000 atau bersamaan kira-kira RM30.

Dua kisah menarik ini sebenarnya membawa banyak iktibar. Ia bukan sekadar cerita lucu semata-mata, tapi memberikan mesej bermakna yang menginsafkan.

Pertama, betapa teliti dan serius lagi komitednya penjawat awam menguatkuasakan undang-undang negara. Benda sekecil isu ikan tidak dipandang remeh. Mungkin bagi penumpang, ia sesuatu yang nenyulitkan. Tapi sebenarnya ia adalah lambang sebuah komitmen berintegriti yang tinggi.

Kedua, dalam kes kerosakan zip beg bagasi pula, nilainya bukan pada jumlah Rupiah sebagai ganti rugi. Tetapi ia adalah nilai sebuah kebertanggungjawaban hakiki. Lebih penting, isunya diselesaikan 'on the spot' tanpa perlu menunggu berhari-hari. Ia bukti dan terjemahan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) syarikat penerbangan terbabit.

Kesimpulannya, banyak pengajaran kita peroleh dari dua kisah kembara jurnalistik seminggu ini.

  • oleh
  • Advertisement