Anda di sini

Seketika singgah di Tugu Khatulistiwa

Advertisement
 Pemandangan di satu sudut kota Pontianak yang menyaksikan pembangunan mengubah landskapnya.
MEMBANGUN: Pemandangan di satu sudut kota Pontianak yang menyaksikan pembangunan mengubah landskapnya.

Pontianak bukan lagi sebuah belantara tempat pontianak bertandang

SEPANJANG penerbangan dari Kota Kinabalu pagi semalam, saya sudah menyimpan hasrat untuk tidak melepaskan peluang berswafoto di Tugu Khatulistiwa ini, iaitu titik lintang 00 yang membelah bumi secara horizontal.

Pontianak satu-satunya kota, daripada 12 negara di dunia yang dilintasi garis Khatulistiwa, yang persis memisahkan belahan bumi utara dan selatan.

Lantas, sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio, Pontianak menjelang tengah hari Ahad, saya mengajak dua rakan setugas dari Sarawak, Saibi Gi dan Jeremy Veno, mengatur masa ke sini, untuk merakam sejarah di hadapan monumen tanpa bayangan ini.

 Penulis merakam foto di hadapan Tugu Khatulistiwa.
KENANGAN: Penulis merakam foto di hadapan Tugu Khatulistiwa.

Rupanya, mereka juga punya hasrat yang sama. Selepas check-in di sebuah hotel di tengah kota, kami bertiga mengambil Grab. Perjalanan mengambil masa hampir sejam kerana laluannya sesak. Ramai warga keluar bersantai di hujung minggu. Bayaran tambang Rp65,000 (sekitar RM19).

Cuaca masih cerah tapi berjerebu ketika kami tiba di pintu hadapan Tugu Khatulistiwa di pinggiran Sungai Kepuas. Ramai orang mundar-mandir, termasuk sebahagiannya pelancong asing. Seperti mereka, kami merakam foto kenangan dalam kesempatan singkat dan keterbatasan waktu.

 Replika kuda daripada seni kayu antara keunikan menarik sekitar taman di monumen itu.
UNIK: Replika kuda daripada seni kayu antara keunikan menarik sekitar taman di monumen itu.

Pemandangan luaran tugunya indah. Dari sudut manapun, rakaman lensa tetap menarik. Apalagi dengan terang bercahaya. Kawasannya cukup luas, tamannya indah. Ditambah pula ada ruang permainan kanak-kanak.

Tugu yang besar itu dibina pemerintah untuk kemudahan dan keselesaan sebagai destinasi kunjungan. Sedangkan tugu yang asli, berukuran lebih kecil, terdapat di dalam komplek bangunan besar ini.

Terdapat beberapa informasi sekitar monumen mengenai sejarah tugu berkenaan. Sebagai wartawan, itulah fakta penting yang harus dikutip.

Kami sebenarnya sekadar singgah bermalam di Pontianak, dalam kembara jurnalistik merentasi bumi Borneo meliputi Kalimantan Barat (Kalbar), Kalimantan Timur (Kaltim) dan Kalimantan Tengah (Kalteng).

Tugu Khatulistiwa menciptakan sebuah peristiwa alam yang menakjubkan kerana hanya di sini tiada kelihatan bayangan ketika matahari tepat berada di garisannya.

Menurut informasi yang ada, momen di mana bayangan tugu dan benda di sekitarnya menghilang ketika matahari tepat berada pada titik lintang 00 hanya terjadi dua kali dalam setahun, iaitu pada 21-23 Mac dan 21-23 September.

 Antara pemandangan indah sekitar taman Tugu Khatulistiwa.
INDAH: Antara pemandangan indah sekitar taman Tugu Khatulistiwa.

Tersenarai dalam UNESCO dan dikenali seluruh dunia, Tugu Khatulistiwa asalnya dibangun oleh ahli geografi dari Belanda yang melakukan ekspedisi pada tahun 1928.

Pada bahagian atas tugu, terdapat dua lingkaran sebagai tanda yang membelah bumi secara horizontan dan vertical, dengan tulisan `EUENAAR'. Manakala bahagian tengah lingkaran, terdapat anak panah penunjuk arah dengan mata panah menghadap ke barat, dengan tulisan pada bahagian `1090 20’ OlVGR' yang menunjukkan letak tugu itu berdiri pada garis bujur.

Persinggahan di kota Pontianak, berkeluasan 107,82 kilometer persegi, mendapati pembangunan besar di serata tempat. Bangunan-bangunan baharu menghiasi kotanya. 

Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke hotel penginapan, saya menyaksikan jajaran pembangunan di kiri kanan jalan.

Kami turut terperangkap dalam kesesakan lalulintas ketika sampai di satu bahagian kota, sebelum sampai ke hotel penginapan. 

Mengikut Pak Zulkifli, pemandu yang ditumpangi, ia adalah suasana biasa. Sesak dengan pelbagai jenis kenderaan - kereta dan motosikal - bertali arus tanpa putus-putus.

"Pontianak sekarang sudah jauh berubah berbanding dahulu. Kita turut mendapat perhatian pemerintah," katanya, sambil menyatakan Presiden Joko Widodo baharu saja melawat kota itu sehari sebelum kedatangan kami.

Menurutnya, jambatan baharu merentasi Sungai Kapuas antara projek besar Presiden Jokowi yang memberi manfaat kepada warga Pontianak.

Buah pembangunan kini sedang meranum di Kalbar, antara kota penting di Pulau Borneo.

Dengan penduduk lebih 600,000 orang, Pontianak sebenarnya bukan lagi sebuah belantara tempat pontianak bertandang. Ia sudah membangun seiring kota-kota besar Indonesia lainnya.

Justeru, tatkala Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur, dalam tempoh lima tahun ke hadapan ini, pembangunan di wilayah Borneo ini tentunya akan bertambah rancak.

Pemuda kelahiran Pontianak, Riang, pemandu Grab yang membawa kami ke Tugu Khatulistiwa turut optimis bahawa wilayah-wilayah Kalimantan bakal berubah wajah sebagaimana Pulau Jawa dalam tempoh tidak begitu lama lagi.

Seperti namanya, Riang menantikan dengan hati penuh keriangan mengenai tempias perubahan yang bakal melimpah ke kota kelahirannya dan Pulau Borneo amnya.

 Penulis (dari kiri) , Saibi dan Jeremy.
MISI JURNALISTIK: Penulis (dari kiri) , Saibi dan Jeremy.
  • oleh
  • Advertisement