Anda di sini

Rakyat Bahamas berebut tinggalkan pulau pasca-Dorian

Advertisement
 Basikal kanak-kanak terdampar di kawasan kejiranan yang musnah selepas kemaraan Taufan Dorian di Marsh Harbour, Great Abaco di Bahamas, kelmarin. — Gambar Reuters
PADANG JARAK PADANG TEKUKUR: Basikal kanak-kanak terdampar di kawasan kejiranan yang musnah selepas kemaraan Taufan Dorian di Marsh Harbour, Great Abaco di Bahamas, kelmarin. — Gambar Reuters

MARSH HARBOUR: Rakyat Bahamas berebut-rebut untuk meninggalkan pulau-pulau yang paling teruk dibadai Taufan Dorian, yang sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang, tatkala taufan raksasa itu bergerak ke arah utara dan melanda daratan berhampiran Halifax, Kanada, kelmarin.

Armada pesawat penumpang, helikopter serta bot dan kapal swasta dan kerajaan yang diselaraskan dengan longgar termasuk kapal peranginan yang ditukar arah, berhimpun di Kepulauan Abaco yang teruk dibadai untuk membantu dalam kerja evakuasi ke Nassau dan tanah besar Amerika Syarikat (AS).

Mangsa mula meninggalkan rantau berkenaan apabila sebuah kapal peranginan yang membawa 1,400 orang berlabuh kelmarin di Riviera Beach, Florida, CNN melaporkan.

Lebih 260 penduduk Abacos tiba pada Jumaat lepas di Nassau di atas feri catar kerajaan, sebahagian daripada kumpulan pertama orang yang dikeluarkan dari kebanyakan pulau yang musnah di kepulauan tersebut.

Pasukan Pengawal Pantai kelmarin berkata, semua pelabuhan Bahamas kini sudah dibuka semula dan sudah mengerahkan sembilan kapal ke kepulauan itu.

Enam helikopter MH-60 Jayhawk yang dimilikinya setakat ini sudah menyelamatkan 290 orang.

Ketika sebahagian warga Bahamas mula bersatu semula dengan ahli keluarga tersayang, Perdana Menteri Hubert Minnis berkata bilangan kematian, setakat ini di Abaco dan lapan di Grand Bahama, kemungkinan besar akan meningkat dengan signifikan.

Ribuan kilometer ke utara, rakyat Kanada duduk dalam rumah di sepanjang pantai Atlantik negara apabila Dorian yang sekarang diklasifikasikan sebagai siklon pascatropika, melanda darat ke selatan kota pelabuhan Halifax, pusat armada kapal Atlantik milik Kanada.

“Kita bercakap mengenai taufan yang sangat berbahaya,” kata Bob Robichaud dari Pusat Taufan Kanada pada satu taklimat.

Imej televisyen menunjukkan hujan lebat dan ribut kencang di lebuh raya kosong di tengah Halifax di mana sebuah kren tumbang ke atas sebuah bangunan pangsapuri dan lebih 450,000 buah rumah di wilayah itu tidak ada bekalan elektrik selepas ribut merosakkan talian elektrik.

Penduduk Bahamas berkata, keadaan di pulau-pulau yang musnah begitu menyayat hati dengan bau busuk mayat yang belum ditemui, selain timbunan sampah yang menggunung.

Ratusan malah ribuan orang masih hilang, kata pegawai, manakala pasukan pencari dan penyelamat meneruskan usaha suram untuk mencari mayat.

Sementara itu Minnis berkata, Nassau tidak mungkin dapat menampung semua mangsa dari Abacos.

Buat masa sekarang, katanya, bekalan makanan dan air mencukupi, tetapi beberapa saksi dari Abaco mempertikaikan kenyataan itu.

Sementara perdana menteri menyifatkan kehilangan nyawa sebagai perkara yang dahsyat dan buruk, Menteri Kesihatan Duane Sands berkata jumlah kematian muktamad dijangka mengejutkan.

Pegawai bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 70,000 orang di Grand Bahama dan Abaco memerlukan bantuan.

Program Makanan Sedunia (WFP) sedang menghantar makanan dan bekalan, manakala sebuah pasukan WFP yang dihantar PBB menganggarkan 90 peratus bangunan di Marsh Harbour telah rosak.

Pasukan Pengawal Pantai AS, Tentera Laut Diraja Britain dan organisasi swasta telah membantu untuk memindahkan penduduk pulau ke Nassau, dihambat oleh landasan kapal terbang dan dermaga yang rosak.

Dorian, taufan Kategori 5 yang amat dahsyat ketika membadai Bahamas, melanda barat daya Nova Scotia dengan ribut yang sama dengan ribut taufan Kategori 2.

Walaupun ia membawa ribut kekuatan taufan maksimum selaju 155 kilometer sejam, ia berlaku pada asasnya di atas permukaan air, Pusat Taufan Kebangsaan di Amerika Syarikat melaporkan.

Perdana Menteri Justin Trudeau diberi taklimat mengenai taufan itu.

“Keselamatan rakyat Kanada adalah keutamaan kita dan kita bersedia untuk membantu Kanada Atlantik menempuh taufan ini,” katanya dalam Twitter. — AFP

Advertisement