Anda di sini

Kesan jerebu dipantau

Advertisement
 Dr Jamilah (barisan depan, lima kanan) bersama Dr Dzulkefly (berdiri barisan depan, empat kanan) bergambar berkumpulan dengan peserta larian ‘Stop the Stigma Run’ dan tetamu kehormat lain. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
STIGMA: Dr Jamilah (barisan depan, lima kanan) bersama Dr Dzulkefly (berdiri barisan depan, empat kanan) bergambar berkumpulan dengan peserta larian ‘Stop the Stigma Run’ dan tetamu kehormat lain. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Semua fasiliti kesihatan di Kuching diarah mengemukakan data pesakit yang sakit disebabkan situasi jerebu yang bertambah buruk, bermula semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata data itu perlu dikemukakan lebih-lebih lagi jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bahagian ini terus mencatat bacaan sangat tidak sihat atau bertambah buruk.

"Hari ini (semalam) adalah hari kedua Kuching mencatat IPU sangat tidak sihat.

"Sehubungan itu, kami menggesa semua fasiliti kesihatan terutama klinik kesihatan dan hospital di Kuching melapor kepada kita (JPN)  jika ada pesakit mengalami sakit paru-paru kronik, asma dan jantung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis 'Stop the Stigma Run' yang dirasmikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini semalam.

Setakat jam 8 pagi semalam, Kuching mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 232, diikuti Sri Aman (229) dan Samarahan (213), pada paras sangat tidak sihat.

Dr Jamilah berkata JKN Sarawak mempunyai satu stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negeri dan terdapat klinik berhampiran stesen berkenaan yang berperanan sebagai klinik 'sentinel' bagi memantau tiga penyakit disebabkan jerebu iaitu jangkitan pernafasan, asma dan mata berasa pedih dan berair.

Bagaimanapun beliau memberitahu, berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh klinik-kilinik, jumlah pesakit yang mengalami penyakit akibat jerebu tidak menunjukkan peningkatan setakat ini.

"Bagaimanapun orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga, kita menjangkakan jumlah pesakit mengalami jangkitan saluran pernafasan, asma dan mata pedih serta berair akan meningkat," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai khususnya yang menghidap penyakit paru-paru kronik, asma, jantung, warga emas dan kanak-kanak mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak daripada mendapat kesan buruk jerebu.

"Jika terdapat gejala-gejala seperti yang saya katakan tadi, segeralah mendapat rawatan di klinik atau hospital berdekatan," katanya.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Sr Sim Kui Hian, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Chin Zin Hing.

Advertisement