Anda di sini

Kelly Clarkson lancar rancangan bual bicaranya sendiri

Advertisement
KELLY CLARKSON
KELLY CLARKSON

‘AMERICAN IDOL’ pertama, Kelly Clarkson,  akan melancarkan siri bual bicaranya sendiri pada minggu ini dengan adunan muzik, selebriti dan orang biasa yang dia harap akan lebih menaikkan semangat berbanding berita harian yang datang dari Amerika Syarikat.

‘The Kelly Clarkson Show’, yang akan dilancarkan menerusi NBC milik Comcast Corp, pada Isnin sebagai sebuah program petang harian, akan menambah kepada resume penyanyi ‘Because of You’ selain sebagai aktres, penyanyi yang memenangi anugerah Grammy, mentor dalam ‘The Voice’ dan penulis buku kanak-kanak.

“Saya hanya mahu semua orang berada di sini dan berseronok dan agar ia menjadi program televisyen selama sejam yang tidak menyusahkan hati, seperti berita,” kata Clarkson.

Clarkson, yang bekerja sebagai seorang pelayan koktel sebelum dia menjadi masyhur pada 2002 selepas memenangi musim pertama dalam program nyanyian ‘American Idol’, mengakui dia bukan pilihan tradisional untuk mengacarakan sebuah program bual bicara tetapi berharap itulah yang akan menjadikan programnya unik.

“Walaupn saya dari budaya pop, saya sebenarnya tidak kerap berada di dalamnya. Saya menjalani kehidupan yang sangat normal di luar kerja,” kata ibu berusia 37 tahun kepada dua orang anak itu.

“Saya mahu melihat beberapa pelakon duduk di sisi juara pembuat kek yang duduk di sisi beberapa artis. Jadi ia adalah campuran selebriti dan orang sebenar,” tambahnya.

Clarkson merancang untuk membuka setiap siri dengan menyanyikan versi ‘cover’ bagi sebuah lagu daripada seorang artis yang dia kagumi, “semua orang daripada Aretha Franklin hingga kepada Cardi B”.

Clarkson tidak pernah melupai asal usulnya. Dia berharap untuk bersatu semula dengan panel hakim asal ‘American Idol’ iaitu Simon Cowell, Paula Abdul dan Randy Jackson untuk programnya.

“Saya sayang semua mereka. Mereka sentiasa menyokong saya. Lihatlah keempat-empat kami. Tidak ada orang yang tahu di mana kami akan berada sekarang.

“Kehidupan begitu pelik, ke mana ia membawa kita, kita tidak tahu. Dan saya cuma fikir, ia pasti sebuah program yang amat menarik,” katanya. — Reuters

Advertisement