Anda di sini

Jerebu: Operasi pembenihan awan akan dibuat di Kuching dan Sri Aman 12 September ini

Advertisement
Uggah bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Serian hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon
Uggah bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Serian hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon

SERIAN: Operasi pembenihan awan akan dilakukan paling awal pada 12 September ini melibatkan kawasan terjejas jerebu terutama di Kuching dan Sri Aman. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bagaimanapun operasi pembenihan awan ini bergantung kepada awan yang ada di kawasan terjejas. 

"Melihat kepada arah tiupan angin dan ramalan cuaca, paling awal pembenihan awan dapat dibuat adalah pada 12 September ini. 

"Sekali lagi ia bergantung kepada kemunculan awan," katanya ketika ditemui hari ini di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Serian di sini. 

Terdahulu, Uggah hadir sama pada Majlis Jamuan Teh bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2019. 

Majlis tersebut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta menteri-menteri kabinet yang lain. 

Ditanya mengenai penutupan sekolah, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata ia terpulang kepada guru besar dan juga pengarah pendidikan. 

Mengikut prosuder operasi standard (SOP), arahan penutupan sekolah boleh dibuat jika indeks pencemaran udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 200.

Uggah turut memaklumkan bahawa Kuala Lumpur hari ini menghantar 500,000 penutup hidung dan mulut ke Sarawak untuk diagihkan terutama di sekolah-sekolah. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan diri dalam keadaan cuaca jerebu kini kerana jerebu adalah berbahaya kepada kesihatan. 

  • oleh
  • Advertisement