Anda di sini

Isuzu perkenal trak pikap D-Max enjin 1.9L Ddi Blue Power

Advertisement
 D-Max dengan enjin 1.9L Ddi Blue Power baharu bakal dilancarkan di Malaysia 18 September ini.
TRAK PIKAP BAHARU: D-Max dengan enjin 1.9L Ddi Blue Power baharu bakal dilancarkan di Malaysia 18 September ini.
 Nakamura (dua kanan) ditemani Tateyama (dua kiri) bersama Sogo (kiri) dan Suzuki memperkenalkan enjin baharu D-Max 1.9L Ddi Blue Power.
TERBAIK: Nakamura (dua kanan) ditemani Tateyama (dua kiri) bersama Sogo (kiri) dan Suzuki memperkenalkan enjin baharu D-Max 1.9L Ddi Blue Power.

KUCHING: Isuzu Malaysia bakal memperkenalkan model trak pikap D-Max yang dilengkapi enjin 1.9L Ddi Blue Power baharu yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada 18 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Koji Nakamura berkata, sebagai pelopor dalam pembangunan enjin diesel di peringkat global, Isuzu mengambil langkah penting untuk memenuhi keperluan pembebasan sisa enjin yang lebih rendah, dengan penjimatan minyak lebih tinggi serta penjanaan kuasa enjin yang lebih baik.

Jelasnya, ia melalui teknologi enjin yang lebih cekap unit 1.9 liter Ddi Blue Power untuk digunakan pada barisan kenderaan komersial ringan atau ‘Light Commercial Vehicle’ (LCV) yang dikeluarkan.

“Trak pikap ini akan dilancarkan di Kuala Lumpur pada 18 September ini dan kita amat mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk melihat sendiri tarikan dan keunikan D-Max 1.9L Ddi Blue Power baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel penerangan khas enjin D-Max 1.9L Ddi Blue Power sempena Program Pandu Uji Bersama Media yang berlangsung dari 4 hingga 6 September lalu di Phuket, Thailand.

Tambah Nakamura, enjin baharu 1.9 liter ini telah mewarisi setiap kelebihan yang ada pada enjin Isuzu sebelum ini termasuk daya tahan dan jangka hayat lebih panjang.

Jelas beliau lagi, versi enjin kali ini telah direka untuk memberikan kelebihan tambahan yang turut dapat mengunjurkan sempadan baharu.

Menurutnya, ia tidak hanya memberikan ketahanan yang lebih tetapi dalam masa yang sama memberikan kuasa dan kecekapan yang tinggi.

“Enjin 1.9L DDi Blue Power yang bakal dilancarkan ini adalah istimewa kerana ia dilengkapi dengan lima penambahbaikan dari segi operasi yang akan me-ningkatkan kecekapannya.

“Pada masa yang sama, lima kekurangan yang biasa terdapat di enjin diesel telah dikurangkan impaknya,” dedahnya.

Mengulas lanjut lima penambahbaikan dan pengurangan itu, Nakamura berkata, penambahbaikannya adalah lebih kuasa, lebih tork, lebih tahan lebih cekap bahan api dan lebih mesra alam.

Manakala pengurangannya pula adalah kurang pengeluaran karbon dioksida (C02), kurang berat, kurang geseran, kurang bising dan kurang kos penyelenggaraan.  

Sementara itu, memanfaatkan rekaan inovatif dan kepakaran kejuruteraan melalui pengalaman luas Isuzu dengan enjin diesel, Pengurus Besar Bahagian Rekaan Enjin Pusat Tek-nikal Isuzu di Asia, Isamu Tateyama pada sesi bengkel tersebut berkata, enjin
berkenaan akan mengubah dan membentuk pandangan serta pendekatan baru untuk masa hadapan bagi Isuzu dipersada dunia.

Katanya, sebahagian besar peningkatan prestasi enjin berkenaan diperoleh daripada pendekatan baharu dalam rekaan, yang antaranya melibatkan rekaan kebuk pembakaran baharu, pengecas turbo VGS berkecekapan tinggi, geseran antara komponen enjin yang lebih rendah serta penyuntik bahan api yang lebih tepat dari sistem ‘commonrail’ bertekanan tinggi.

Melalui pendekatan penting ini, jelasnya, Isuzu telah mencapai peningkatan 10 peratus bagi kuasa enjin baharu ini, menghasilkan janaan 110 kW (150 PS) pada 3,600 rpm serta 9 peratus peningkatan bagi tork, dengan janaan 350 Nm (35.7 kg/m) antara 1,800 rpm hingga 2,600 rpm berbanding unit 2.5 liter yang digantikannya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, unit enjin RZ4E baharu ini memperlihatkan pengurangan 37 peratus bagi kehilangan tenaga mekanikal melalui pengurangan geseran komponen dalaman.

“Dilengkapi dengan sistem Kitaran Semula Gas Ekzos (EGR) dan penapis minyak eko, enjin ini mampu memberikan penambahbaikan dari sudut kecekapan bahan api sehingga 19 peratus berdasarkan ujian yang dijalankan di Thailand, pembebasan C02 dan NOx juga lebih rendah.

“Dengan mengurangkan geseran dalaman, Isuzu juga telah dapat memastikan komponen-komponen yang terlibat tahan lebih lama.

“Komponen bertekanan tinggi seperti penyuntik, ‘con-rod’, pelaras injap, blok silinder serta ‘head’ telah direka semula dan diperkukuh untuk memastikan prestasi serta daya tahannya bertamban sekali gus mengurangkan kos selenggara,” ujarnya.

Tambah beliau, sistem suntikan ‘commonrail’ baharu pula telah diperkemas dan rekaan ini menyediakan atomisasi bahan api yang lebih baik serta membolehkan jumlah suntikan yang lebih terperinci.

“Hasilnya, pembakaran menjadi lebih bersih, menjimatkan minyak, prestasi enjin menjadi lebih baik, pembebasan ekzos lebih rendah dan juga pengurangan gegaran serta bunyi bising,” jelasnya lagi.

Penambahbaikan lain yang penting ialah pengurangan berat yang mana enjin baharu ini 56kg lebih ringan berbanding unit 4JK1 2.5-liter sebelum ini.

Ini tidak hanya menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhan, tetapi kapasiti beban yang boleh ditampung juga semakin meningkat, selain menjadikan pengendalian keseluruhan kenderaan menjadi lebih baik.

Untuk memanfaatkan lagi perwatakan enjin 1.9 liter ini, transmisi enam kelajuan baharu automatik telah dibangunkan untuk Isuzu D-Max terkini.

Kotak gear berkenaan menawarkan nisbah yang lebih rapat untuk rasa pemanduan yang lebih maklum balas, terutamanya bagi julat kelajuan pertengahan, yang membolehkan misalnya pemandu memotong dalam masa yang lebih singkat dan menjadikan manual dan pemanduan lebih responsif serta dua nisbah gear yang paling tinggi pula memberikan rasa meluncur yang lebih selesa.

Untuk maklumat lanjut, layari laman FB rasmi @ISUZU.DMax.Malaysia atau www.isuzu.net.my/pickup/.

Hadir sama Pengurus Besar Kenkichi Sogo, Ketua Pegawai Operasi Masayuki Suzuki, Pengurus Kanan Perancangan dan Strategi Jualan Sean Sin, Pengurus Perancangan Produk Tan Aun Ling dan kakitangan Isuzu Malaysia lain.

  • oleh
  • Advertisement