Anda di sini

Bekas maharani Jepun jalani pembedahan kanser payudara

Advertisement
 Michiko diiringi jururawat ketika memasuki Hospital Universiti Tokyo, kelmarin. — Gambar AFP
GERING: Michiko diiringi jururawat ketika memasuki Hospital Universiti Tokyo, kelmarin. — Gambar AFP

TOKYO: Bekas maharani Jepun Michiko menjalani pembedahan semalam selepas wanita berusia 84 tahun itu didiagnosis dengan kanser payudara peringkat awal, menurut Agensi Hal Ehwal Istana Diraja.

Suami Michiko, Akihito telah meletakkan jawatan secara rasmi sebagai maharaja pada April, penurunan takhta pertama selama 200 tahun dalam monarki tertua di dunia.

Pembedahan beliau bermula pada pagi Ahad seperti yang dijadualkan di Hospital Universiti Tokyo, menurut pegawai agensi tersebut.

Ia akan mengambil masa beberapa jam dan pihak agensi telah dijadual mengumumkan keputusan pada lewat hari tersebut, menurut kepada media tempatan.

Akihito dan puteri beliau Sayako Kuroda, bekas puteri yang meninggalkan urusan diraja untuk mengahwini seorang rakyat biasa, melawat hospital untuk menemui Michiko sebelum pembedahan.

Akihito dan Michiko dikenali kerana memodenkan secara dramatik monarki yang terikat kepada tradisi, lebih rapat dengan orang awam dan meningkatkan sokongan umum bagi urusan diraja.

Rakyat biasa pertama yang mengahwini pewaris kerajaan, Michiko dilahirkan pada 1934 di Tokyo dan menuntut di sekolah eksklusif bagi pelajar perempuan Christian Sacred Heart School sebelum menuntut kesusasteraan Inggeris di universitinya.

Beliau melahirkan maharaja sekarang Naruhito pada 1960 dan putera keduanya Akishino dilahirkan pada 1965.

Michiko dan suami beliau turut dikenali dengan kehadiran mereka di samping mangsa terselamat bagi bencana, terutama selepas tsunami 2011 yang telah memusnahkan beberapa bahagian besar di timur Jepun. — AFP

Advertisement