Anda di sini

MATRADE teraju misi promosi firma permainan video Malaysia ke TGS 2019

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai Misi Peningkatan Eksport (EAM) produk dan perkhidmatan berkaitan permainan video ke Jepun sempena Ekspo Permainan Video Tokyo (TGS) 2019.

MATRADE berkata EAM tersebut akan diadakan mulai 10 hingga 15 Sept.

TGS, yang akan berlangsung di Makuhari Messe, Chiba, Jepun, adalah platform berkesan untuk menonjolkan jenama Malaysia sebagai antara pengeskport utama produk dan perkhidmatan berkaitan permainan video kepada syarikat utama Jepun, menurut MATRADE dalam kenyataan semalam.

Lebih 12 syarikat Malaysia akan mempamerkan keupayaan mereka dalam Imej Janaan Komputer, pemodelan permainan video 3D, pembangunan permainan video dan Harta Intelek (IP) dalam animasi kepada penggiat hiburan digital utama.

Antara yang akan mengambil bahagian ialah Blimp Media, Camou Studio, Fuluso, Gamelobb, Illusionist Production dan Lemon Sky Animation.

“Kehadiran kita di sana (TGS) pasti akan melonjakkan jenama Malaysia sebagai hab terkemuka untuk kandungan digital di rantau ini,” kata Pengarah Seksyen Elektrik dan Elektronik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Jentera dan Peralatan MATRADE, Jamaliah Jamaluddin dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata EAM bertujuan meningkatkan promosi syarikat Malaysia kepada pembeli dan rakan kongsi bernilai tinggi dari Jepun, Korea, Taiwan dan bahagian rantau Asia Pasifik lain.

Pada 2018, penyertaan syarikat Malaysia dalam acara itu mencatatkan nilai eksport berpotensi berjumlah RM155.1 juta.

“Jepun terkenal sebagai peneraju dunia dalam industri permainan video, dengan nilai keseluruhan industri di sana mencecah AS$19.2 bilion.

“Asia Tenggara menjadi penyedia utama perkhidmatan permainan video bagi penyumberan luar kepada banyak syarikat Jepun disebabkan kos tenaga kerja dan bakat kreatif di sana yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata ini sekali gus memberikan peluang yang amat luas kepada Malaysia memandangkan dikenali sebagai negara yang memiliki jurutera permainan video berkemahiran tinggi dan keupayaan cemerlang dalam bidang seperti IP.

Industri ini mencatatkan nilai eksport melebihi RM687 juta pada 2018.

“TGS menyediakan platform bagi perusahaan kecil dan sederhana kita dalam industri untuk bertemu dengan peserta lain yang mahu melaksanakan penyumberan luar atau kerja tertakluk kepada hak cipta serta perkongsian.

“Acara ini juga menyediakan peluang rangkaian dengan penggiat utama kepada penerbit permainan video bebas, terutama syarikat pemula niaga,” katanya.

TGS 2019 menampilkan lebih 668 pempamer dan dijangka menerima hampir 300,000 pengunjung. — Bernama