Anda di sini

KWSP catat pendapatan pelaburan RM12.32 bilion bagi suku kedua 2019

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan berjumlah RM12.32 bilion bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2019, kurang RM70 juta berbanding RM12.39 bilion yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Pelaburan) Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata penurunan pendapatan pada suku tahun itu disebabkan oleh prestasi lemah pasaran saham Malaysia (-1.1 peratus dalam suku kedua 2019 berbanding tempoh yang sama tahun lepas), yang menghasilkan pendapatan portfolio ekuiti domestik sebanyak RM1.51 bilion.

Bagaimanapun, kebanyakan pasaran ekuiti global mencatatkan pemulihan daripada paras penurunan yang dialami semasa suku keempat 2018, sebahagiannya disebabkan tanda-tanda kemajuan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang menstabilkan sumbangan pendapatan daripada ekuiti global.

Namun, katanya, kebanyakan pasaran utama tidak termasuk AS, kekal rendah berbanding catatan tertinggi mereka pada 2018, dan keadaan perdagangan yang sukar pada suku kedua 2019.

“Kelebihan mempunyai portfolio pelbagai ialah pendapatan yang disumbang melalui pelaburan aset luar negara boleh membantu mengurangkan tekanan kejatuhan pendapatan portfolio ekuiti domestik.

“Bagi kami di KWSP, ketidaktentuan jangka pendek memberikan peluang untuk membeli aset berkualiti bagi mengukuhkan portfolio jangka panjang,” kata Mohamad Nasir dalam satu kenyataan, kelmarin.

Ekuiti, yang merangkumi 39.2 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP kekal sebagai penyumbang utama sebanyak RM6.33 bilion, iaitu 51.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan pada suku kedua 2019.

Sejumlah 50.6 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap, yang kekal menyumbang kepada pendapatan yang stabil dan konsisten, dengan menjana pendapatan sebanyak RM5.12 bilion, iaitu 41.6 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun.

Pendapatan daripada sekuriti kerajaan dan bon sama taraf bagi suku kedua 2019 mencecah RM2.69 bilion, manakala bon dan pinjaman mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM2.43 bilion.

Semasa suku tersebut, hartanah dan infrastruktur, yang mewakili 4.9 peratus daripada jumlah aset pelaburan mencatatkan RM460 juta pendapatan pelaburan. Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang yang mewakili 5.3 peratus daripada pelaburan, menyumbang RM410 juta.

Sejumlah RM890 juta daripada RM12.32 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Shariah dan RM11.43 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya menerusi bahagian portfolio Syariah, manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana daripada bahagian portfolio Syariah dan portfolio konvensional.

Mengenai prospek suku tahun seterusnya bagi tahun ini, Mohamad Nasir berkata keadaan pasaran sehingga hujung tahun ini akan menjadi lebih mencabar dan tidak menentu.

Terdapat pelbagai ketidakpastian, terutamanya berlegar sekitar Brexit, konflik dagangan antara AS dan China serta peningkatan amalan dasar perlindungan di negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan.  

“Kami juga memerhati dengan rapat kemungkinan berlakunya kelembapan ekonomi dan risiko kemelesetan beberapa ekonomi utama yang dipercayai akan memberi kesan kepada pertumbuhan global.

“Keadaan pasaran di Malaysia kekal mencabar bagi tempoh jangka pendek, namun menyediakan peluang pembelian baik bagi dana jangka panjang seperti kami. Sehingga hujung tahun ini, kami percaya keadaan akan menjadi lebih sukar untuk kami mengekalkan momentum setengah tahun pertama, melihat kepada kemunculan trend yang membimbangkan berdasarkan kepada pelbagai petunjuk global.

“Bagaimanapun, kami yakin dengan keupayaan kami untuk memberikan pulangan melebihi inflasi, seterusnya memenuhi objektif kami untuk memelihara dan meningkatkan nilai simpanan ahli kami untuk jangka masa panjang,” katanya. — Bernama

Advertisement