Anda di sini

Individu perlu rancang persaraan sejak mula bekerja: AKPK

Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiap individu perlu mempunyai perancangan persaraan sejak memulakan alam pekerjaan, kata Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azaddin Ngah Tasir berkata berdasarkan kajian Bank Negara Malaysia tahun lepas, kira-kira 57 peratus rakyat Malaysia memahami pentingnya kewangan yang stabil.

“Namun, kami yakin masih ada ruang untuk mendidik anak muda, terutama mengenai cara menabung, yang boleh dilakukan berdasarkan kadar perbelanjaan. Masih ramai yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi selepas persaraan,” katanya selepas melancarkan Inisiatif DuitSmart Hong Leong Bank, di sini semalam.

Beliau berkata program pengurusan hutang agensi itu mencatatkan peningkatan dari segi minat orang ramai untuk mengetahui secara mendalam kaedah yang perlu dilakukan untuk mendapat skor kredit yang baik.

“Kita menerima kira-kira 10,000 hingga 15,000 individu dari seluruh negara yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat. Ini satu perkara yang memberangsangkan kerana kami di AKPK akan membantu untuk mengelak seseorang itu daripada jatuh muflis,” katanya.

Mengenai harapan dalam Belanjawan 2020, beliau berharap kerajaan dapat menjadikan pendidikan kewangan sebagai mata pelajaran wajib di sekolah rendah sehingga ke universiti.

“Kita mengalami masalah kewangan sepanjang masa. Oleh itu, semua orang perlu memahami pentingnya kestabilan kewangan untuk masa depan,” katanya.

Pada  majlis itu, Hong Leong Bank (HLB), AKPK and Universiti Malaya melancarkan inisiatif DuitSmart HLB dengan matlamat untuk mengukuhkan literasi kewangan.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HLB  Domenic Fuda berkata berdasarkan kajian yang dijalankan dengan kerjasama iMoney, 75 peratus daripada responden meletakkan tahap pengetahuan mengenai kewangan pada paras rendah hingga sederhana, dan 68 peratus percaya secara umumnya mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.

“Kebanyakan orang menganggap pengetahuan kewangan bermakna mengetahui cara menyimpan dan mengurus pinjaman. sedangkan ia lebih daripada itu.

“Lagi cepat konsep itu difahami, lebih cepat kita dapat menanam amalan kewangan bertanggungjawab yang akan meningkatkan kebebasan kewangan pada masa depan,” katanya.

HLB DuitSmart akan mengira dan menyediakan maklumat mengenai pengetahuan kewangan secara dalam talian, selain membolehkan rakyat Malaysia menyemak skor kredit masing-masing, menerusi usaha sama dengan iMoney mulai semalam hingga akhir bulan. — Bernama

Advertisement