Anda di sini

Vivian minta MPS percepat sedia kupon parkir gores bernilai RM0.25

Advertisement
 Vivian (kiri) ketika mengadakan pertemuan bersama Hamsan bagi membincangkan pelaksanaan sistem bayaran kupon parkir di Sandakan.
BINCANG: Vivian (kiri) ketika mengadakan pertemuan bersama Hamsan bagi membincangkan pelaksanaan sistem bayaran kupon parkir di Sandakan.

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berharap Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dapat mempercepatkan penyediaan jualan kupon parkir bergores yang bernilai RM0.25.

Katanya, ia penting untuk kegunaan dan kemudahan pengguna khususnya yang hanya mahu meletakkan kenderaan bagi tempoh sekejap berbanding tempoh lama atau lebih setengah jam.

Ia khusus bagi petak parkir berwarna kuning dengan kadar RM0.25 bagi setengah jam pertama dan RM0.50 bagi satu jam.

Ketika ini, setelah pelaksanaan sistem kutipan parkir di 11 bandar satelit dan Bandar Sandakan, pihak berkuasa tempatan itu hanya mempunyai tiga jenis kupon parkir bergores iaitu RM0.50, RM1 dan RM2.

"Ini tidak dapat memenuhi keperluan pengguna yang hanya mahu parkir sekejap sahaja. Sekiranya pengguna mahu pergi ke bandar satelit dan Bandar Sandakan untuk tempoh setengah jam atau 10 minit, mereka terpaksa menggunakan kupon RM0.50.

"Justeru, saya berharap MPS akan mempercepatkan pengeluaran kupon bernilai RM0.25 untuk kemudahan pengguna," katanya selepas melakukan pertemuan dengan Timbalan Presiden MPS Mohd Hamsan Awang Supain bagi membincangkan isu parkir di pejabatnya di sini semalam.

Semasa kunjungan itu, beliau dimaklumkan bahawa pihak MPS dalam usaha mencetak dan menyediakan kupon bergores RM0.25, dan ia dijangka dapat disediakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Dalam pada itu, Vivian berkata selepas beberapa hari pelaksanaan sistem kutipan yuran parkir di 11 bandar satelit Sandakan, pihaknya mendengar pelbagai keluhan daripada orang awam.

Katanya, pelaksanaan itu telah mendatangkan banyak masalah kepada rakyat Sandakan kerana dilihat masih mempunyai banyak kelemahan.

"Justeru, kita berharap MPS terus peka dan melihat sama ada terdapat keperluan untuk menangguhkan lagi buat sementara bayaran sebelum sistem parkir itu dapat diperbaiki dan pelaksanaannya benar-benar berkesan kepada pembangunan daerah ini," tambahnya.

Vivian berkata, jika dilihat, MPS tidak menjalankan penyelidikan yang terperinci sebelum melaksanakan sistem mengutip yuran pakir di 11 bandar satelit Sandakan.

Pada amnya, difahamkan MPS telah melaksanakan skim cadangan pada tahun 2017 dan ia menjadikannya tidak lagi praktikal untuk dilaksanakan pada hari ini.

MPS juga hanya memilih 11 bandar satelit untuk melaksanakan sistem kutipan yuran parkir sekali gus menimbulkan persoalan kepada bandar lain yang tidak dikenakan caj parkir sama.

Vivian sekali lagi menegaskan dan berharap MPS dapat memanfaatkan sepenuhnya sistem kutipan yuran parkir di daerah ini yang mana, MPS perlu menggunakan pendapatan hasil kutipan itu dengan sebaiknya seperti membiayai perbelanjaan menghias bandar, memotong rumput secara berkala, menyelenggara jalan, membaiki sistem kumbahan, menyelenggara lampu jalan dan sebagainya.

Dalam kunjungan yang sama, Hamsan memberitahu Vivian bahawa MPS akan membincangkan isu untuk mengurangkan bayaran parkir bulanan daripada RM80 kepada RM50 pada mesyuarat majlis itu hujung bulan ini selain membincangkan isu bilangan kaunter perkhidmatan dan perniagaan jualan kupon parkir yang sedia ada di daerah ini.

  • oleh
  • Advertisement