
LAHAD DATU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyaksikan pendaratan kapal kontena 17224 DWT MV Danum 172 yang pertama kali menggunakan Terminal Kontena Kluster Industri Kelapa Sawit (POIC) di sini, semalam.
Menurutnya, peristiwa bersejarah itu menyaksikan kapal miliki Shin Yang Shipping Corporation, sebuah syarikat perkapalan dan logistik yang berpangkalan di Sarawak membawa sembilan kontena 40 kaki dan mengeluarkan sembilan kontena 20 kaki.
"Biarlah ini permulaan, kelahiran Rotterdam dari Timur. Saya sengaja datang ke sini untuk melihat peristiwa bersejarah ini," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau menyatakan keyakinannya dengan perkembangan pelabuhan itu akan membawa Sabah ke tahap lebih tinggi yang mendorong pencapaian negara perindustrian menjelang 2030.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan operasi terminal itu, Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Industri positif dan gembira dengannya selepas usaha itu tertangguh sekian lama.
"Pada masa yang sama, saya ingin mengatakan maaf kerana semua kelihatan seperti di landasan terutama selepas 23 Oktober tahun lepas... tetapi hanya sekarang ia berlaku.
"Ia terlalu lama menunggu semua kemudahan telah ada selama lebih daripada setahun," katanya.
Pada perkembangan sama, Ketua Pegawai Operasi POIC Lahad Datu Dr Pang berkata acara semalam adalah pengesahan daripada pengirim utama yang mengesahkan bahawa pelabuhan itu telah menghubungkan semua titik dalam perkapalan dan logistik yang diperlukan untuk perindustrian.