Anda di sini

Semangat Jalur Gemilang dalam telefilem ‘Ku Rindu Kibarmu’ khas Hari Malaysia di TV1

Advertisement
 Telefilem khas sambutan Hari Malaysia bertajuk ‘Ku Rindu Kibarmu’ arahan Nuad Othman temui penonton pada 14 September ini, jam 3.05 petang menerusi saluran TV1.
POSTER: Telefilem khas sambutan Hari Malaysia bertajuk ‘Ku Rindu Kibarmu’ arahan Nuad Othman temui penonton pada 14 September ini, jam 3.05 petang menerusi saluran TV1.

SEMANGAT patriotisme dalam diri seluruh rakyat Malaysia sepanjang bulan kebangsaan ini terus disemarakkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi tayangan naskah telefilem siarkan khas sambutan Hari Malaysia bertajuk ‘Ku Rindu Kibarmu’ arahan Nuad Othman.

Menemui penonton pada 14 September ini, jam 3.05 petang menerusi saluran TV1, telemovie ini mengangkat latar kisah kehidupan yang dilalui oleh dua orang sahabat baik ketika mula bertugas dalam polis hutan. Pelbagai cabaran dan rintangan dilalui mereka sehingga hampir meragut nyawa.

Amalan wajib yang dilakukan semenjak mereka mula bertugas ialah memberi tabik hormat pada Jalur Gemilang. Ia bertujuan bagi menyampaikan rasa syukur masih lagi hidup di bumi bertuah ini. Keakraban mereka diteruskan sehingga ke usia tua seperti sebuah keluarga walaupun mereka berlainan bangsa.

Menampilkan gandingan pelakon Chelsia Ng, Naim Daniel, Radhi Khalid, Steve Yap dan Vanidah Imran, paparan perkongsian jalan cerita tentang watak utama iaitu Samad dan Leong bersahabat baik ketika bertugas dalam pasukan polis hutan selepas insiden di hutan Grik pada tahun 1974.

Samad yang luka ditembak pengganas komunis telah diselamatkan oleh Leong yang sanggup memapahnya sejauh enam kilometer. Selepas beberapa tahun, mereka diserap ke unit polis di bandar. Samad sekali lagi diselamatkan oleh Leong dalam satu kes rompakan.

Sudah menjadi amalannya akan memberi tabik hormat apabila melihat Jalur Gemilang sebagai tanda berterima kasih masih lagi hidup di bumi yang dicintainya.

Samad dan isterinya Shidah sentiasa mengambil berat tentang kehidupan Leong yang kesunyian setelah kematian isteri dan anaknya yang dibunuh oleh kumpulan kongsi gelap. Hubungan mereka rapat seperti sebuah keluarga walaupun berlainan bangsa.

Samad dan Shidah kemudiannya sepakat memperkenalkan Cikgu Angie kepada Leong untuk dijadikan sebagai teman hidup. Sementara itu Ah Heng, seorang ahli kongsi gelap yang pernah ditangkap oleh Leong suatu ketika dahulu muncul semula selepas dibebaskan dari penjara.

Beliau menjejaki Leong dan menculik Samad dan anaknya untuk membalas dendam terhadap Leong. Usaha Ah Heng gagal apabila beliau ditumpaskan Leong dengan bantuan Samad. Mereka kemudiannya meneruskan amalan memberi tabik hormat pada Jalur Gemilang selepas selamat dari insiden tersebut.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Advertisement