Anda di sini

Rangka pelan tindakan selaras sistem digital di Sabah

Advertisement
 Yusof menyampaikan Anugerah Individu Paling Aktif (ICT) kepada Au Wai Fong dari Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun.
ANUGERAH: Yusof menyampaikan Anugerah Individu Paling Aktif (ICT) kepada Au Wai Fong dari Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun.

SANDAKAN: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi kini dalam rangka menyediakan satu Pelan Tindakan Sistem Pendigitalan bagi menyelaras sistem digital yang sedia ada di Sabah.

Menterinya Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pelan itu amat penting kerana ia antara apa yang dilihat oleh para pelabur atau negara lain sama ada kerajaan negeri mempunyai keupayaan untuk menyediakan sistem digital yang mereka perlukan.

"Selama ini, kita belum ada pelan digital untuk negeri. Ini yang sedang kita selaraskan pada tahun ini sebelum dibawa ke Kabinet.

"Kita fokus bagaimana menyusun sistem digital di negeri ini, sektor apa yang perlu kita tekankan dalam usaha mengoptimumkan apa yang kita ada di negeri ini.

"Industri seperti perkayuan, minyak dan gas, pelancongan dan pembuatan memerlukan sistem ini yang mana pelabur mahukan penghantaran data yang cepat, perhubungan antarabangsa dengan dunia luar. Oleh itu, kalau kita tidak ada kemudahan ini, sudah tentu mereka akan pilih tempat lain mempunyai khidmat atau sistem seumpama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar ICT Sektor Awam Negeri Peringkat Wilayah Sandakan, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) Ernywati Dewi Abas dan Ketua Cawangan JPKN Sandakan Ajman Jumadai.

Pada seminar itu, beliau menyampaikan Anugerah Individu Paling Aktif (ICT) kepada Au Wai Fong dari Stesen Penyelidikan Pertanian Ulu Dusun, Anugerah Laman Web Terbaik kepada Majlis Daearah Beluran dan Anugerah Penerapan ICT Terbaik kepada Pejabat Daerah Tongod.

Mengenai seminar itu, Yusof berkata ia sebagai usaha untuk mendidik semula ilmu dan pengetahuan sedia ada selain memperkenal idea dan teknologi baharu terutama berkaitan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) kepada kakitangan awam.

  • oleh
  • Advertisement