
LABUAN: Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) muncul juara dalam Pertandingan Drama KOMSAS Sekolah-sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Labuan 2019, baru-baru ini.
Pertandingan itu telah disertai oleh lima sekolah iaitu SMK Mutiara, SMK Pantai, SMK Labuan, SMK Taman Perumahan Bedaun dan SM Sains Labuan.
Andrasila atau Anak Drama Sains Labuan telah dinobatkan sebagai johan kerana berjaya memukau hati dan mata juri melalui drama pementasan mereka 'Bukan Gila' karya Shariff Shaary.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Kumpulan Drama dari SMK Mutiara dan ketiga kumpulan drama dari SMK Labuan yang masing-masing membawakan drama KOMSAS berjudul 'Mahkamah' karya Awang Abdullah.
Pertandingan itu menyaksikan Andrasila membawa pulang empat daripada enam anugerah juri yang disediakan.
Antara anugerah yang diperoleh ialah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Aiman Hareez Durasad, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Hadifah Zahwa Abdul Hadi) dan Sinematografi Terbaik (SM Sains Labuan) manakala, Teo Siti Raydiyanti telah dipilih sebagai Pengarah Terbaik.
Pelakon Wanita Terbaik pula dimenangi oleh SMK Mutiara manakala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik disandang oleh SMK Pantai.
Andrasila diwakili oleh 15 pelajar tingkatan 2 dan 4 iaitu Teo Siti Raydiyanti, Aiman Hareez Durasad, Megdewi Ciayun David, Muhammad Hafiz Mohd Nazri, Hadifah Zahwa Abdul Hadi,
Muhammad Ilman Mohd Khairi, Muhammad Haziq Naufal Muhammad Noor Khairuddin, Farahezzaty Nabilla, Schyen Samantha, Irdina Aisyah Sarakawi, Muhammad Afiq Ikram Ramlae, Morgan Libat Balang, Nur Mai Sarah Clement, Muhd Hanis Syazwan Shaifol Kamarulzaman dan Hafizzuddin Aminullah Abd Jalil.
Kumpulan itu dibimbing sepenuhnya oleh guru drama Andrasila, Yahya Burhanuddin.
Pertandingan Drama KOMSAS Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri WP Labuan itu telah dilangsungkan di Anjung Budaya, Layang-Layangan di sini.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Labuan Asbola @Hasbollah Amit.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Lajau Mohd Jamatin Abd Latip dan Asmawi Ahmad dari SPPK Labuan.
Pemenang-pemenang pertandingan drama itu membawa pulang trofi dan sijil.
Andrasila akan mewakili WP Labuan dan berentap di peringkat kebangsaan pada 4-6 September 2019 ini di Panggung Sari, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka.
Sementara itu, Pengetua SMSL Mahamad Shukri Said merakamkan ucapan tahniah dan berharap pasukan sekolah itu akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lain di peringkat kebangsaan minggu ini.