
LAHAD DATU: Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Dr Zulkefli Ibrahim berkata, sebagai pemacu ekonomi negara, JKDM mesti melaksanakan penambahbaikan signifikan dalam memantapkan keupayaan agensi itu.
Katanya, turut perlu diberi perhatian ialah kapasiti organisasi yang akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhdimatan JKDM.
"Dengan adanya pejabat kastam baharu yang selesa dan dilengkapi kemudahan lain, diharapkan pegawai-pegawai dapat memberikan satu komitmen yang tinggi dalam menghasilkan perkhidmatan berkualiti, berinovasi dan memenuhi jangka harap pelanggan serta pemegang taruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Pejabat Kastam Lahad Datu, di sini, semalam.
Turut hadir, Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah Saman Musli, Timbalan Pengarah JKDM Sabah Dr Alim Impira, Penolong Kanan Pengarah JKDM Sabah Awang Yusof, Penolong Kanan Pengarah JKDM Sabah Cheong Yu Min, Ketua JKDM Daerah Lahad Datu Saidin Jalaluddin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PBLT Sdn Bhd Rizal Mohd Paudzi.
Menurutnya, JKDM Lahad Datu berjaya mengutip cukai sebanyak RM150.63 juta tahun lalu dan jumlah itu akan mencapai sasaran seperti yang ditetapkan untuk tahun ini.
Ia menunjukkan Lahad Datu relevan diberi kemudahan kerana faktor prestasi yang baik hasil pembangunan industri sawit, rumah kedai serta kerancakan pengeksportan barang-barang industri perladangan sawit.
Daerah ini telah dipilih untuk menempatkan kawasan Kluster Industri Sawit (POIC) berkeluasan 4,000 ekar untuk memudahkan proses barangan keluaran sawit dan juga pelabuhan eksport.
"Semua akan dieksport melalui pelabuhan seiring dengan fenomena perkembangan pembangunan daerah Lahad Datu dan sudah tiba masanya JKDM mengorak langkah yang lebih proaktif untuk responsif ke arah perubahan ini," katanya.
Wibawa Pakat Construction Sdn Bhd telah memulakan kerja di tapak pada 8 Mac 2017 dan Sijil Perakuan Siap Kerja telah dikeluarkan pada 7 Februari 2019 dengan kos projek RM21.70 juta.
JKDM merakamkan penghargaan kepada PBLT Sdn Bhd sebagai agensi pelaksana dan juga wakil pegawai penguasa kerana telah berjaya melaksana projek itu siap 26 hari lebih awal iaitu tarikh siap pada 5 Mac 2019.
JKDM lahad Datu dilengkapi satu blok pentadbiran dua tingkat lengkap kemudahan termasuk satu stor barangan rampasan, dewan seminar, surau, ruang letak kenderaan, loji kumbahan dan bilik pengawal.