
KOTA KINABALU: Universiti adalah medan terbaik kepada semua pelajar mengeratkan hubungan persahabatan untuk berintegrasi serta memahami konteks bermasyarakat dengan lebih mendalam, harmoni agar penyatuan masyarakat keseluruhan dapat dikecapi.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, universiti juga platform terbaik bagi mengelakkan wujudnya isu-isu sensitif seperti isu perkauman dan agama.
"Semangat cintakan negeri dan negara hendaklah sentiasa dipupuk merentasi kaum, agama agar keharmonian serta kedamaian ini sekali gus memperlihatkan persefahaman dan perpaduan kita bersama sebagai rakyat Malaysia.
"Walau apa pun isu yang timbul, kita akan tetap bersatu padu dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara dicapai dengan aman serta muhibah," katanya ketika merasmikan Majlis Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu sesi 2019/2020 Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini semalam.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.
Shafie berkata, peranan anak muda hari ini semakin penting dan mendapat tempat dalam pembangunan negara. Ia terbukti pada 25 Julai lalu, di mana Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan 2019 dengan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon pada pilihan raya umum.
Katanya, tiga usahawan yang terdiri dari kalangan anak muda turut dilantik menjadi Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
"Semua perkara ini menunjukkan kesediaan kerajaan untuk melibatkan anak muda untuk bersama mencorak masa hadapan negara tercinta ini.
"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab anda semua untuk mengisi peranan berkenaan dengan memastikan pengupayaan diri dapat dipenuhi sepanjang berada di universiti," katanya.
Shafie berkata, perkara itu amat penting agar kita dapat mendepani cabaran serta menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda sama ada dari sudut ekonomi, sosial mahupun politik.
Selain itu, beliau turut menyeru kepada semua pelajar baharu UMS agar manfaatkan peluang dalam universiti sebaik-baiknya kerana bukan mudah untuk menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi awam.
"Ramai lagi yang mengimpikan untuk berada di tempat anda semua tetapi tidak semua berpeluang dan bernasib baik," katanya.
Hadir sama ialah Naib Canselor UMS Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin.