Anda di sini

Remaja pengedar dadah dicekup dalam Ops Sarang

Advertisement
 Barang suspek yang dirampas
BUKTI KES: Barang suspek yang dirampas

LAHAD DATU: Seorang remaja  tempatan yang disyaki menjadi pengedar dadah kecil-kecilan dicekup polis dalam Ops Sarang di Kampung Dasar Baru, Jalan Tengah Nipah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek berumur 18 tahun terbabit ditangkap kerana memiliki dadah 59.93 gram bernilai RM8,989.50.

Katanya, bertindak daripada maklumat yang diterima, sepasukan lapan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lahad Datu telah ke lokasi dan menahan suspek yang dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Dasar Baru, Jalan Tengah Nipah, jam 9.30 pagi.

"Suspek telah cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Sebuah beg silang jenama AIRWALK berwarna putih dan hitam yang dipakai oleh suspek telah dirampas," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan pada beg silang yang dipakai suspek menemukan tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 59.93 gram.

 Suspek remaja yang ditahan.
DISYAKI PENGEDAR DADAH: Suspek remaja yang ditahan.

Turut dirampas 14 paket lutsinar kosong, gunting dan pemetik api.

Nasri berkata, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan polis kini giat menyiasat pihak yang terlibat membekalkan dadah kepada suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • oleh
  • Advertisement