
LABUAN: Polis Labuan pada subuh semalam menangkap lima lelaki berumur 30-an dipercayai terlibat aksi lumba kereta di Jalan Patau-Patau dan Jalan Eno.
Ketua Polis WP Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya bertindak mengesan kelima-lima individu terbabit selepas menerima maklumat video dan gambar melalui aplikasi Whatsapp.
"Lima individu itu ditahan berserta empat kereta yang digunakan dalam perlumbaan," katanya.
Sepasukan polis lima anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik diketuai Insp Kalista Demson melakukan tangkapan itu.
Siasatan awal mendapati kesemua lima lelaki itu tidak memiliki lesen memandu.
Semua yang ditangkap beserta kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Labuan untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 manakala semua kenderaan disita mengikut Seksyen 64 (1) APJ 1987.