Anda di sini

Petani diarah bela diri berhubung kes suri rumah mati dikelar

Advertisement
 Jong ketika menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching.
DIARAH BELA DIRI: Jong ketika menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching.

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan seorang petani membela diri atas dakwaan membunuh isterinya, seorang suri rumah warganegara Indonesia berusia 36 tahun yang mati dikelar awal tahun lepas.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Lee Heng Cheong selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh Jong Siew Phin, 37.

Mahkamah juga menetapkan kes didengar semula pada 17 dan 18 September depan.

Manakala pihak pendakwaan diarahkan untuk menyediakan saksi bagi pihak defendan sekiranya diperlukan.

Pada 29 Julai lalu, sebanyak 26 bahan bukti dikemukakan di hadapan Hakim Lee Heng Cheong termasuklah senjata pembunuhan iaitu pisau pemotong daging.

Bagi dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, Jong didakwa membunuh isterinya Natalia Baoon pada 9 Februari 2018.

Kejadian berlaku di rumahnya di Kampung Bedup Longgok, Serian, antara jam 7 pagi hingga 1 petang.

Menurut fakta kes, setelah mengambil anak perempuan mereka berusia lapan tahun pulang dari sekolah pada tahun lepas, Jong menemui isterinya dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di lantai ruang tamu rumah. 

Jong bertindak membuat laporan tentang penemuan mayat isterinya di Balai Polis Serian dan seterusnya ditahan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, anak tertuduh yang berusia sembilan tahun kini tinggal bersama jiran mereka. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Fairuz Masri dan Jubilant Austinway.

Advertisement