
LABUAN: Karnival Permainan Pendidikan Khas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019 telah diadakan di Kompleks Sukan Labuan pada 27 hingga 29 Ogos 2019.
Karnival ini adalah bertujuan mencungkil bakat Murid Berkeperluan Khas (MBK) dalam bidang sukan dan permainan dan seterusnya melahirkan atlet yang terdiri daripada MBK yang boleh diketengahkan ke peringkat negeri atau kebangsaan.
Karnival permainan ini melibatkan semua Murid Pendidikan Khas (MBK) di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di keenam-enam sekolah yang menawarkan PPKI.
Seramai 189 orang Murid Berkeperluan Khas (MBK) dari Program Pendidikan Khas Integrasi, Guru-Guru Pendidikan Khas dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Pendidikan Khas terlibat sepanjang tiga hari program ini dilaksanakan.
Sekolah-sekolah yang menawarkan PPKI adalah SMK Lajau, SMK Mutiara, SK Pekan Satu, SK Bukit Kalam, SK Rancha-Rancha dan SK Pantai.
Mereka menyertai Pertandingan Futsal, Badminton, Bocce dan Petanque.
Pertandingan Futsal yang dikelolakan oleh SMK Lajau telah diadakan pada 27 Ogos di Gelanggang Futsal, Kompleks Sukan Labuan.
Manakala Pertandingan Badminton bagi kategori perseorangan dan beregu pula diadakan pada 27 dan 28 Ogos yang dikelolakan bersama SK Pekan Satu dan SK Pantai.
Pertandingan Bocce kelolaan SK Rancha-Rancha dan SK Bukit Kalam telah diadakan pada 28 Ogos dan melibatkan semua MBK yang dikategorikan sebagai MBK Berkefungsian Rendah.
Manakala SMK Mutiara pula mengelolakan Pertandingan Petanque yang melibatkan penyertaan daripada MBK, Guru dan PPM Pendidikan Khas. Pertandingan Petanque ini telah diadakan pada 28 dan 29 Ogos di Gelanggang Petanque, Kompleks Sukan Labuan.

Majlis perasmian penutupan Karnival Pendidikan Khas Peringkat Labuan Tahun 2019 disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin, di Ruang Legar My Park, Kompleks Sukan Labuan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Mahanum Fauzi, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Maimoon Matnoh dan Penolong Pengarah Unit Pendidikan Khas, Afandi Nasir.
Hadir sama Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan Pendidikan Khas, guru-guru dan MBK PPKI.
Dalam ucapannya, Raisin mengingatkan kepada semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung pada anak-anak MBK, sama ada guru, ibu bapa atau komuniti masyarakat, supaya sentiasa mencari peluang untuk mencungkil bakat dan potensi MBK dalam apa-apa bidang yang bersesuaian dengan mereka.
Beliau juga berharap program ini mampu memupuk keyakinan diri kepada MBK supaya boleh bersaing dengan rakan sebaya yang lain.