Anda di sini

Malaysia catat lebihan dagangan RM14.27 bilion Julai 2019

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak 75.6 peratus kepada RM14.27 bilion pada Julai 2019 berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan bagi bulan ke-261 berturut-turut sejak November 1997.

Eksport turut menokok 1.7 peratus tahun ke tahun kepada RM87.96 bilion, kebanyakannya berikutan peningkatan eksport ke Taiwan, Amerika Syarikat (AS), China dan Singapura manakala import menguncup 5.9 peratus kepada RM73.69 bilion.

“Jumlah perdagangan bernilai RM161.65 bilion iaitu penyusutan sebanyak 1.9 peratus,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan semalam.

Dari segi asas perbandingan bulanan, jumlah dagangan, eksport dan import mencatat pertumbuhan sebanyak dua angka iaitu masing-masing 14 peratus, 15.5 peratus dan 12.3 peratus manakala lebihan dagangan pula meningkat sebanyak 35.8 peratus.

Jumlah dagangan bagi tempoh Januari-Julai 2019 mencecah RM1.057 trilion iaitu susut sebanyak 1.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2018 yang menyaksikan eksport berkurangan 0.4 peratus kepada RM569.46 bilion manakala import turun 2.6 peratus kepada RM487.84 bilion.

Bagi tempoh sama, lebihan dagangan meningkat 15.9 peratus kepada RM81.62 bilion, demikian menurut MITI.

Eksport barangan pembuatan pada Julai 2019 yang menyumbang 86.1 peratus daripada jumlah eksport dengan merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus kepada RM75.7 bilion.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pertambahan eksport produk elektrikal dan elektronik (E&E) dan keluli, makanan diproses, peralatan dan komponen serta kelengkapan pengangkutan.”

Produk perlombongan (menyumbang sebanyak 7.5 peratus) bernilai RM6.6 bilion iaitu susut sebanyak 11.6 peratus susulan pengurangan eksport petroleum mentah berikutan penyusutan jumlah dan nilai unit purata (AUV).

Barangan pertanian (menyumbang 5.7 peratus) berjumlah RM4.97 bilion iaitu susut sebanyak 9.3 peratus akibat penurunan eksport minyak sawit dan produk tani berasaskan minyak sawit khususnya minyak sawit yang susut 14.2 peratus kepada RM2.59 bilion berikutan AUV lebih rendah.

Menurut MITI, berbanding Jun 2019, eksport produk-produk pembuatan meningkat sebanyak 18.7 peratus, produk pertanian naik 3.2 peratus namun produk perlombongan berkurangan 5.2 peratus.

Selain itu, perdagangan dengan ASEAN pada Julai 2019 yang menyumbang 26.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkurangan 3.7 peratus tahun ke tahun kepada RM42.72 bilion.

Eksport ke rantau itu bertambah sebanyak 1.8 peratus kepada RM25.16 bilion, didorong oleh peningkatan eksport produk E&E, jentera, peralatan dan komponen, besi dan keluli serta gas asli cecair (LNG).

Pasaran utama yang mencatat peningkatan adalah Singapura iaitu meningkat kepada RM372.9 juta susulan pertambahan eksport produk E&E manakala Vietnam (RM191.5 juta meliputi produk pembuatan logam) dan Filipina (RM247.4 juta bagi produk petroleum).

Import dari ASEAN bagaimanapun menguncup sebanyak 10.7 peratus kepada RM17.56 bilion, kata MITI.

Pada Julai 2019, perdagangan dengan China (menyumbang 17.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia) meningkat secara marginal sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun dengan eksport berkembang 3.8 peratus kepada RM13.34 bilion, didorong oleh peningkatan pembuatan logam, produk petroleum dan LNG.

Import dari republik itu bagaimanapun susut 2.8 peratus kepada RM15.16 bilion.

Dalam pada itu, jumlah perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang menyumbang 9.1 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2019, merosot 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM14.72 bilion.

Eksport berjumlah RM8.1 bilion, berkurangan sebanyak 2.8 peratus akibat penurunan eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskannya pengeluaran logam manakala import berkurangan sebanyak 10 peratus kepada RM6.62 bilion.

“Peningkatan eksport itu membabitkan produk E&E, jentera, peralatan dan komponan serta kelengkapan pengangkutan,” kata MITI.

Dalam kalangan 10 pasaran utama EU yang menyumbang 90.2 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke blok dagangan itu, empat negara mencatat peningkatan eksport iaitu Jerman (4.0 peratus), United Kingdom (13.3 peratus), Belgium (9.8 peratus) dan Sepanyol (37.6 peratus).

Selain itu, perdagangan dengan AS pada Julai 2019 meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun kepada RM14.05 bilion atau menyumbang 8.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dengan eksport meningkat 7.9 peratus kepada RM8.36 bilion, didorong oleh pertambahan eksport barangan E&E, produk kayu, peralatan pengangkutan serta pembuatan plastik.

Bagaimanapun, import dari AS menguncup 0.8 peratus kepada RM5.69 bilion.

Bagi tempoh sama, perdagangan dengan Jepun berkurangan 4.1 peratus tahun ke tahun kepada RM10.52 bilion dengan eksport susut 6.3 peratus kepada RM5.2 bilion berikutan penyusutan eksport LNG, produk petroleum serta produk berasaskan minyak sawit.

Eksport petroleum mentah, makanan yang diproses serta kelengkapan pengangkutan juga mencatat peningkatan.

Import dari Jepun pula berkurangan sebanyak 1.9 peratus kepada RM5.32 bilion. — Bernama

Advertisement