
SANDAKAN: Laporan Akhir Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet pada awal Oktober depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, Pasukan Petugas Khas (Taskforce MA63) telah menyiapkan Laporan Akhir Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 31 Ogos lepas.
“Laporan itu telah dimajukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohar Tun Abang Openg,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata laporan itu juga telah diedarkan kepada semua ahli Jawatankuasa Pemandu untuk penyemakan mereka.
“Pembentukan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 merupakan bukti komitmen Kerajaan Pakatan Harapan, Kerajaan Sabah Warisan, Kerajaan Negeri Sarawak untuk memenuhi aspirasi semua rakyat Sabah dan Sarawak dalam menunaikan MA63 selaras dengan Janji 40 yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan,” katanya.
Liew berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dibantu oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja dan diurussetiakan oleh pasukan petugas khas dikenali sebagai Taskforce MA63.
“Laporan akhir ini akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang dijangka diadakan sebulan dari hari ini,” katanya.