Anda di sini

Hampir 20 tahun dijalankan, Op Pasir kekal relevan

Advertisement
 Johari (kanan) dan Zarondin menandatangani nota serah terima tugas sambil diperhatikan oleh Suhaimi.
TANDATANGAN: Johari (kanan) dan Zarondin menandatangani nota serah terima tugas sambil diperhatikan oleh Suhaimi.

TAWAU: Pelaksanaan Op Pasir kekal relevan walaupun sudah berjalan hampir 20 tahun susulan insiden penculikan tebusan di Pulau Sipadan dan Pandanan Semporna pada 2000.

Malah, Op Pasir yang turut dikenali sebagai Operasi Pandanan dan Sipadan Island Resort menjadi mekanisme penting menjaga kedaulatan dan keselamatan negara di sempadan.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki berkata operasi Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 itu juga menerima kerjasama baik banyak pihak.

“Antaranya, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta organisasi keselamatan lain,” katanya.

Suhaimi ditemui pemberita selepas Perbarisan Serah Terima Tugas Komander ATB 2 di Padang Kawad Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), Kem Kukusan, di sini semalam.

Beliau menegaskan Op Pasir penting diteruskan kerana matlamat utamanya adalah untuk mengekang ancaman-ancaman yang datang dari luar.

“Anggota pasukan kita juga sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi dan kita doakanlah bersama semoga situasi di sempadan negara sentiasa aman,” katanya.

Berhubung komen provokasi yang memperlekehkan tentera di media sosial pula, beliau menganggapnya pendapat daripada orang yang tidak arif dengan bidang ketenteraan.
 
Menurutnya, sekalipun berhadapan cemuhan terbabit tetapi tentera tetap menjalankan tanggungjawab secara profesional menjaga kedaulatan dan keamanan negara ini.

“Sempena Hari Kebangsaan negara kita, saya melihat perbarisan di Kuala Lumpul berlangsung dengan suasana terbaik apabila rakyat berbilang kaum mengambil bahagian.

“Kita doakan semoga tanahair tercinta terhindar daripada insiden yang tidak diingini, untuk terus menikmati kemerdekaan negara dalam suasana hidup aman damai,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Brigadier Jeneral Johari Mohd Jaafar kini bertugas sebagai Komander ATB 2 ke-7, menggantikan Mejar Jeneral Datuk Zarondin Md Amin.

Zarondin yang berkhidmat sebagai Komander ATB 2 dari 17 Februari 2017 hingga 4 September, akan bertukar keluar dan menjawat jawatan Asisten Panglima-Bahagian Pasukan Simpanan (ibu pejabat).

Perbarisan serah terima tugas terbabit dijayakan lima pegawai dan 105 anggota lain-lain pangkat daripada pelbagai elemen yang diketuai Leftenan Kolonel Ameruddin Razali.

Antaranya, Tempur Op Pasir Selatan dari Rejimen ke-15 RAMD, Markas ATB 2, Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas TUDM (Paskau) dan Pasukan Aturgerak Cepat (QRF).

  • oleh
  • Advertisement