Anda di sini

Caj parkir oleh MPS berpatutan

Advertisement
 Jaujan (tiga kanan) menerima cendera kenangan disampaikan Taufiq.
TERIMA KASIH: Jaujan (tiga kanan) menerima cendera kenangan disampaikan Taufiq.

KOTA KINABALU: Bayaran parkir yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) adalah berpatutan memandangkan perkara berkenaan sudah dikaji dari semua sudut untuk memberikan situasi 'menang-menang' kepada semua pihak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, sekiranya bayaran parkir tidak dikenakan, sudah pasti wujud pihak yang mengambil kesempatan untuk meletakkan kenderaan masing-masing selama 24 jam, selain terdapat dalam kalangan peniaga yang meletakkan kereta rosak sebagai tanda kawasan berniaga.

"Keadaan seumpamanya akan menyusahkan rakyat secara keseluruhan, jadi kita perlu ada peraturan agar kawasan parkir tidak disalahgunakan untuk tujuan sedemikian.

"Sekiranya tidak ada sistem, apa jaminan kita di MPS atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat Sandakan tanpa kutipan sumber pendapatan seperti caj parkir," katanya ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Majlis Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu sesi 2019/2020 Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini semalam.

Beliau berkata, rakyat menuntut perkhidmatan yang lebih baik dan sekiranya semua pihak inginkan percuma, ia akan membantutkan usaha kerajaan untuk membantu melancarkan kerja baik pulih di perbandaran berkenaan.

Katanya, isu parkir yang ditimbulkan itu adalah satu cabaran kepada rakyat agar tidak berharap sepenuhnya kepada kerajaan.

"Isu seumpamanya adalah perkara biasa, rakyat kini tidak mempunyai pilihan selain untuk bekerja dan berusaha bagi menjana pendapatan seterusnya mengubah taraf ekonomi masing-masing.

"Kita tidak dapat puaskan hati semua pihak dan apa yang dilakukan itu adalah berdasarkan kajian dilaksanakan seterusnya mewujudkan peraturan agar ia dipatuhi," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, masa depan Sandakan adalah untuk menjadi sebuah bandaraya dan bayaran ke atas parkir adalah wajar agar MPS mampu menjana pendapatannya sendiri bagi menyeimbangkan perkhidmatan seperti penyelenggaraan lampu jalan serta kemudahan lain.

Katanya, harga yang dikenakan RM0.25 sen setiap setengah jam adalah berpatutan berbanding negara maju lain seperti Singapura walaupun kaya tetapi tidak memberikan parkir percuma kepada rakyatnya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Naib Canselor UMS Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin.

  • oleh
  • Advertisement