Anda di sini

‘Boss Najib will take care’ berhubung pembukaan akaun luar negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: ‘Boss (Najib) will take care’, kata ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low kepada Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung arahan pembukaan akaun luar negara.

Amhari Efendi, 43, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa Jho Low ada memberitahunya jika ada apa-apa persoalan timbul mengenai akaun tersebut, Najib akan melindungi mereka (Amhari Efendi dan Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu)

“Jho Low juga memberikan jaminan agar tidak risau dan yakin dengannya malah dia telah memberitahu kami bahawa ‘boss will take care’.

Boss yang dimaksudkan adalah Najib. Dia juga ada menyebut, jika ada apa-apa persoalan timbul mengenai akaun ini, Najib akan melindungi kami. Saya hanya merujuk dan meminta Datuk Azlin berbincang dengan Jho Low dan saya akan  mengikut  keputusan Datuk Azlin.

“Datuk Azlin juga menyatakan perasaan tidak selesa tetapi Jho Low memberitahu lagi bahawa semua ini akan dilakukan ‘above board’, melalui proses dokumentari yang betul, menggunakan bank yang ternama dan mempunyai reputasi. Datuk Azlin hanya diam dan Jho Low kata dia akan kembali balik kepada kami mengenai isu ini lalu dia meninggalkan perjumpaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata  akaun bank yang diarahkan dibuka di luar negara adalah kemungkinan untuk dijadikan sebagai akaun ‘money laundering’ bagi tujuan menyimpan dana politik untuk  Najib  bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Saksi pendakwaan kelapan yang mendedahkan perkara itu berkata  Jho Low mengarahkan beliau dan Datuk Azlin untuk membuka akaun bank masing-masing di bank Iuar negara bagi tujuan PRU13.

Ketika membacakan penyataan saksinya, Amhari Efendi berkata Jho Low mengarahkan mereka berbuat demikian selepas memaklumkan telah mendapat ‘blessing’ dari Najib  dan memaklumkan bahawa akaun itu akan diuruskan oleh Jho Low sendiri.

“Kami diarah untuk membuka akaun ini ‘just in case and standby’. Apabila kami mengetahui perkara tersebut, kami berdua berasa takut kerana kemungkinan akaun ini akan dijadikan akaun ‘money laundering’ bagi tujuan menyimpan dana politik untuk Najib bagi menghadapi PRU13.

“Pada masa tersebut saya terfikir sekiranya akaun  ini untuk tujuan  yang murni, mengapa pembukaan akaun bank tersebut perlu melibatkan saya, diuruskan oleh Jho Low serta dibuka di luar negara? Walaupun dimaklumkan akaun ini adalah akaun standby sahaja tetapi sekiranya betul akaun ini digunakan untuk tujuan dana politik, ia adalah sesuatu yang saya tidak mahu terlibat,” katanya.

Saksi penting pertama  itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari keempat perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Katanya beliau dan Datuk Azlin berbincang mengenai perkara itu dan mereka berasa waswas berhubung hal itu namun beliau menjangkakan perkara itu terpaksa dipersetujui kerana ia melibatkan perkara sulit dan mereka juga takut diri mereka, keluarga dan kerja mereka mendapat ancaman sekiranya mereka menolak cadangan itu.

“Saya membuat keputusan untuk mengikut nasihat Datuk Azlin kerana dia adalah boss saya dan dia juga lebih banyak tahu perkara sebegini daripada saya. Bagaimanapun, pada perjumpaan tersebut kami tidak ada memberikan kata persetujuan kepada Jho Low. — Bernama

Advertisement