
KOTA KINABALU: Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) digesa supaya memberikan sepenuh tumpuan kepada pembelajaran sepanjang tempoh pengajian.
Naib Canselor UMS Prof Taufiq Yap Yun Hin berkata, mereka juga perlu sentiasa berusaha menyediakan diri dengan ilmu serta kemahiran yang terbuka luas di gedung ilmu itu.
"Manfaatkan setiap ruang dan peluang yang telah disediakan kepada anda semua untuk menjadi bekalan tambahan kelak.
"Sisihkan amalan negatif seperti malas, suka bertangguh, ponteng kelas dan sebagainya sebelum ia mendatangkan mudarat yang lebih berat pada masa hadapan," katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu sesi 2019/2020 Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini semalam.
Beliau berkata, para pelajar UMS perlu sentiasa ingat kepada ibu bapa serta keluarga yang tidak pernah berhenti mendoakan kejayaan mereka semua.
Katanya, melalui Pelan Strategik UMS 2018-2022, pihak UMS melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sentiasa berusaha untuk memastikan para pelajar menikmati setiap detik pembelajaran di UMS, serta mempersiapkan diri para pelajar selaras dengan keperluan industri hari ini.
"Setiap pelajar juga perlu menjunjung tinggi perlembagaan, nilai-nilai teras UMS dan nilai-nilai dalam pendidikan.
"Ia penting bagi membantu masyarakat kampus yang lebih harmoni dalam kepelbagaian budaya yang wujud khususnya di Sabah," katanya.
Taufiq berharap semoga dengan usaha dilakukan itu, UMS mampu menjana graduan lebih berkualiti, sekali gus menjadi universiti yang mempunyai kebolehpasaran graduan tertinggi.
Katanya, seramai sejumlah 4,362 pelajar baharu UMS tahun ini dengan 2,570 adalah pelajar dari Sabah dan 1,690 pelajar Semenanjung Malaysia serta Sarawak.
"Kita juga mempunyai 102 pelajar antarabangsa dari 14 negara dan mengalu-alukan kedatangan lapan pelajar orang kelainan upaya (OKU)," katanya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.