
KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hope Place Kuching memulakan usaha murni untuk memperkasakan ekonomi golongan miskin di negeri ini dengan melancarkan projek amal dikenali ‘Solution for Life’.
Presiden Hope Place Kuching Chong Hai Eng berkata inisiatif itu diambil kerana percaya dengan memperkasakan ekonomi golongan miskin di negeri ini, mereka dapat berdikari suatu hari kelak.
Beliau berkata pada awal penubuhannya enam tahun lalu, Hope Place Kuching hanya memfokus kepada usaha memberi bantuan dalam bentuk barang keperluan kepada orang miskin.
Namun ia diperluaskan kepada memberi bantuan kepada mangsa bencana seperti banjir dan kebakaran rumah panjang terutama di pedalaman Sarawak.
Chong berkata, projek amal berkenaan merupakan kerja sama antara Hope Place dengan Hilton Kuching dan Ecolab untuk menghasilkan sabun segar daripada sabun terpakai yang akan diberikan kepada klien Hope Place serta komuniti memerlukan.
“Ini adalah kali pertama kami menjalinkan kerjasama dengan syarikat antarabangsa bagi projek amal seperti ini. Ini satu penghormatan kepada kami sebagai NGO tempatan yang kecil.
“Menerusi projek ini kami mahu memperkasakan komuniti miskin di negeri ini dengan melibatkan mereka dalam penghasilan sabun ini sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual bagi menambah pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek ‘Solution for Life’ di Hilton di sini semalam. Majlis itu dirasmikan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.
Hadir sama Pengurus Besar Hilton Kuching Hamish Watts dan Pengarah Urusan Ecolab Singapura & Malaysia Ong Kian Tick.
Menurut Chong lagi, Hilton Kuching akan menyumbang bahan mentah iaitu sabun terpakai manakala Ecolab menyediakan peralatan, bahan kimia dan kepakaran untuk projek berkenaan.
Sementara itu Dr Sim menerusi teks ucapan dibaca Ting berkata usaha sama Hope Place, Hilton Kuching dan Ecolab perlu dicontohi NGO serta syarikat korporat lain untuk menggalakkan gaya hidup bersih dan lestari.
“Ini satu usaha yang sangat murni, mengitar semula sabun-sabun terpakai kepada sabun segar untuk diagihkan kepada komuniti tempatan yang memerlukan.
“Usaha yang kecil ini tanpa kita sedari sebenarnya memberi harapan kepada komuniti. Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam projek ini terutama Hilton Kuching dan Ecolab,” katanya.