Anda di sini

Filem sekuel ‘Breaking Bad’ di Netflix pada Oktober ini

Advertisement
 A Breaking Bad Movie’ di Netflix, Oktober ini.  — Gambar AFP/Getty Images
KEMBALI: Gambar fail menunjukkan Bryan Cranston menghadiri Resepsi Media Bertemu Calon Anugerah Tony 2014 di Paramount Hotel, New York City pada 30 April 2014. Cranston akan menghidupkan kembali wataknya dalam siri ‘Breaking Bad’ menerusi ‘El Camino: A Breaking Bad Movie’ di Netflix, Oktober ini. — Gambar AFP/Getty Images

SEBUAH filem ‘Breaking Bad’ yang menceritakan kisah selepas peristiwa yang berlaku dalam siri televisyen yang popular itu dan berkisar sekitar seorang penagih metamfetamina yang menjadi tukang masak Jesse Pinkman akan dikeluarkan di Netflix pada Oktober, kata gergasi striming itu baru-baru ini.

‘El Camino: A Breaking Bad Movie’ akan menyambung cerita selepas Pinkman melarikan diri daripada cengkaman sebuah geng neo-Nazi dengan bantuan raja dadah Walter White dalam kesimpulan bagi siri AMC itu pada 2013.

“Selepas dia meloloskan diri secara dramatik daripada tahanan, Jesse, mesti menerima masa silamnya untuk membina masa depan,” Netflix menyebut dalam satu kenyataan.

Filem “aksi yang mencengkam jiwa” itu ditulis dan diarah oleh Vince Gilligan, pencipta siri asal, yang dipuji ramai sebagai salah sebuah drama TV terbaik pernah dibuat.

‘Breaking Bad’ bersiaran selama lima musim dari 2008 hingga 2013, dan menceritakan kisah seorang guru kimia di sekolah tinggi yang didapati menghidap kanser dan mula membuat metamfetamina kristal – selalunya bersama bekas pelajar Pinkman – untuk menyara keluarganya.

Treler promosi untuk filem itu menunjukkan satu lagi watak yang kembali semula, ‘Skinny Pete’, yang memberitahu polis dia tidak tahu ke mana rakannya Pinkman telah pergi.

“Tidak mungkin saya akan membantu kamu orang meletakkan semula Jesse Pinkman ke dalam sangkar,” katanya.

Berita mengenai filem yang sekian lama dikhabarkan itu dibuat setelah pengguna Netflix ternampak sebuah laman “placeholder” dalam platform gergasi striming itu yang memberi tajuk dan sinopsis.

Walaupun laman itu kemudian dipadamkan, akhbar The New York Times mengesahkan laporan tersebut dengan menerbitkan satu temuramah bersama Aaron Paul yang menghidupkan watak Pinkman.

“Ia merupakan satu bab bagi ‘Breaking Bad’ yang saya tidak sedari yang saya inginkan,” kata Paul. “Dan memandangkan sekarang saya memilikinya, saya begitu gembira kerana ia ada di sana.”

Paul memberitahu Times bahawa Gilligan telah menelefonnya dua tahun lalu dengan cadangan bagi sebuah filem.

“Saya dengan cepat memberitahu Vince bahawa saya akan mengikutinya masuk ke dalam api,” jawab Paul.

Filem itu akan dikeluarkan pada 11 Oktober, kata Netflix.

Dua bintang siri itu, Bryan Cranston dan Paul, menciap mesej tersirat yang membayangkan kemungkinan bagi sebuah filem pada awal tahun ini.

Media tempatan di Albuquerque, yang menjadi latar belakang bagi siri asal dan di mana ia dibuat, melaporkan pada tahun lepas bahawa penggambaran bagi filem ini sedang dijalankan.

Bob Odenkirk, bintang bagi siri keluaran sampingan kepada ‘Breaking Bad’, ‘Better Call Saul’, juga menyatakan dalam satu temuramah baru-baru ini bahawa dia “tidak sabar lagi mahu melihat” filem ini.

Siri asal dipuji ramai kerana membantu memulakan apa yang dipanggil “zaman keemasan” televisyen. — AFP

Advertisement