Anda di sini

Taylor Swift bermadah tentang cinta dalam album baharu

Advertisement
 

ALBUM ketujuh Taylor Swift yang amat dinanti-nantikan sudah pun berada di pasaran dan semuanya  manis-manis dan mengenai cinta – peralihan yang jelas daripada sisi ‘goth’ yang penuh dendam dalam rekod lamanya.

Namun album ‘Lover’ yang mengandungi 18 buah lagu itu bukan sekadar madah mengenai soal hati – ia merupakan album studio pertama bagi bintang pop itu yang dia sebenarnya miliki, di bawah syarat perjanjian bagi pelbagai album yang dia meterai pada tahun lepas bersama Universal Music Group/Republic Records.

“Album ini benar-benar meraikan cinta, dalam segala kerumitan, keselesaan dan huru-haranya,” tweet Swift sebaik sahaja projek terbaharunya dikeluarkan.

“Ia merupakan album pertama saya yang saya sendiri miliki, dan saya tidak mungkin rasa lebih bangga lagi.”

‘Lover’ menyaksikan Swift, yang tidak asing kepada permusuhan selebriti yang dengki dan umpatan berlirik, menetapkan mood untuk maju ke depan – dengan sentuhan penjagaan diri yang licik – dalam lagu pembukaannya ‘I Forgot That You Existed”.

Ia merupakan satu peralihan daripada ‘Reputation’ pada 2017 apabila Swift buat seketika membuang tiara puterinya untuk mencuba kulit ular Dark Taylor yang keras.

Dalam bentuk Swift yang klasik, album baharu merangkumi renungan kecil mengenai duka lara dalam kisah cintanya pada masa lalu tetapi memelihara sikap optimis yang riang, khususnya berkaitan hubungannya sekarang dengan pelakon British, Joe Alwyn, dengan beberapa lagu yang membayangkan perkahwinan.

Swear to be overdramatic and true (Bersumpah untuk bersikap terlalu dramatik dan benar),” dia bernyanyi dengan kenyitan mata yang menyedari diri dalam lagu tajuk album.

- LANGKAH POLITIK YANG KECIL -

Dalam ‘Miss Americana and the Heartbreak Prince’, dia seakan-akan menyerang kandungan politik – Swift pernah berdepan dengan hinaan pada masa lalu kerana menjauhkan diri daripada isu-isu sosial – menyuarakan rasa terkilan dengan mitos Amerika.

“American story burning before me / I’m feeling helpless / The damsels are depressed / Boys will be boys then / Where are the wise men?” dia bernyanyi.

Dan dalam ‘The Man’, dia merenungkan dua standard yang dihadapi wanita, baik di tempat kerja dan dalam percintaan.

“I’d be a fearless leader / I’d be an alpha type / When everyone believes you / What’s that like?” tanya Swift.

Dalam lagu itu, dia menyebut nama Leonardo DiCaprio, yang terkenal kerana mempunyai lebih kurang 20 orang teman wanita yang silih berganti, dengan membayangkan tabiat datingnya yang bersiri pada masa lalu mungkin tidak begitu dikecam jika dia seorang lelaki: “And they would toast to me or let the players play / I’d be just like Leo in Saint Tropez.”

- ‘AUTOKRASI’ ALA TRUMP -

Kemabukan asmara kembali dalam lagu ‘London Boy’ – yang memaparkan penampilan kameo daripada Idris Elba – satu pujian kepada semua perkara yang bersifat Inggeris seperti minum teh lewat petang, menonton perlawanan ragbi di pub, dan loghat teman lelakinya.

Kisah cintanya yang baharu dengan Britain mungkin sebabnya kenapa superstar itu memilih The Guardian untuk bercakap mengenai kekecewaannya dengan keadaan semasa di Amerika Syarikat, dan memberitahu akhbar itu Donald Trump menggunakan kuasanya di White House seperti sebuah “autokrasi”.

Superstar itu berdepan dengan kritikan pada 2016 apabila dia memilih untuk tidak menggunakan platformnya yang amat besar untuk mengendos seorang calon dalam pemilihan presiden amat penting yang berakhir dengan pemilihan Trump.

Dia memberitahu akhbar British berkenaan bahawa dia rasa “kesal” kerana tidak bersuara, dan berkata sambil merenungkan masa lalu bahawa dia pasti menyokong Hillary Clinton.

Swift berkata ketika itu bahawa perbalahannya dengan Kanye West dan Kim Kardashian, selain diagnosis kanser pada ibunya, mendorongnya untuk bersembunyi daripada perhatian awam.

“Saya cuma tahu apa yang saya dapat tangani dan saya tahu apa yang saya tidak dapat tangani. Saya secara harfiah hampir hancur,” katanya.

Swift berikrar untuk “melakukan segalanya yang termampu untuk 2020”, dan menunjukkan khususnya kepada pertarungan yang sedang berlaku yang boleh menghasilkan akses yang terlebih terhad kepada perkhidmatan pengguguran.

‘Lover’ menandakan era baharu bagi Swift kerana dia memegang kunci kepada pengedarannya pada masa depan.

Pada awal tahun ini, bintang itu mula secara terbuka bersengketa dengan hartawan industri Scooter Braun selepas Braun membeli label lama Swift yang berpangkalan di Nashville, Big Machine, yang memberikan Braun pegangan majoriti dalam rakaman induk bagi enam album pertamanya.

Pemilik rakaman induk yang diidam-idamkan – bahan sumber satu-satunya yang digunakan untuk mencipta vinil, cakera padat dan salinan digital – dapat menentukan bagaimana lagu-lagu dihasilkan semula dan dijual.

Sentiasa berazam untuk mempunyai kata-kata terakhir, dalam publisiti media bagi mempromosikan ‘Lover’, Swift berkata dia akan mula merakam semula album baharunya untuk mencipta salinan yang dia sendiri miliki.

Dia memberitahu ‘Good Morning America’ di saluran ABC bahawa kontraknya membolehkannya untuk mula membuat semula album satu hingga lima pada November 2020, dan merancang untuk kembali ke studio dan berbuat demikian.

“Saya rasa artis sewajarnya memiliki hasil karya mereka sendiri,” katanya.

“Saya cuma rasa sangat bersemangat mengenai perkara itu.” — AFP

Advertisement