Anda di sini

Menyelesaikan Masalah Secara Berkesan Melalui Kepimpinan Kolaboratif

 

  Oleh CHRISTIE CHUA

KEPIMPINAN YANG HEBAT ADALAH PRESTASI KUMPULAN, BUKAN PERBUATAN SOLO. — BOB VANOUREK

Pada awal tahun 1900-an, ketua pegawai eksekutif (KPE) biasanya beroperasi secara bersendirian, membuat kebanyakan keputusan kritikal seorang diri. Dia akan menugaskan kerja dan kuasa kepada pengurus fungsi dalam bisnes. 

Lama-kelamaan lebih banyak jawatan CxO (atau C-suite, iaitu mereka yang bergelaran ketua) mula muncul, tetapi individu-individu ini lazimnya tidak bekerja rapat sesama sendiri. 

Manakala cara bekerja ini mungkin baik untuk organisasi pada masa lepas, suasana bisnes dinamik masa kini menampilkan cabaran yang bersifat pelbagai dimensi dan jauh lebih kompleks. Oleh itu, perspektif yang pelbagai diperlukan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Buat masa ini, usaha menangani isu yang dihadapi organisasi memerlukan kolaborasi berdisiplin silang dan kemahiran fungsi mendalam, yang tidak boleh diuruskan dengan jayanya oleh satu-satu fungsi. Bagaimanapun, bukan sahaja mereka dalam C-suite yang patut bergerak dengan rentak yang sama, organisasi juga akan beroleh manfaat besar jika pemimpin-pemimpinnya berkongsi beban kerja dengan tenaga kerja mereka.

Pasukan Leaderonomics berpeluang menemu bual Bob Vanourek beberapa ketika dahulu di mana dia berkongsi pandangan kepimpinan yang diperoleh sepanjang ini – kepimpinan kolaboratif. 

Vanourek adalah pengarang bersama Triple Crown Leadership: Building Excellent, Ethical and Enduring Organizations (Kepimpinan Bertakhta Tiga: Membina Organisasi Yang Cemerlang, Beretika dan Bertahan) dan bekas KPE lima buah syarikat. 

“Ketika saya memulakan kerjaya saya, saya ingat semua beban adalah tanggungan saya –bahawa saya perlu tahu semua jawapannya, bahawa saya perlu ada keyakinan, dan tidak boleh nampak sesat. Yang saya sedari kemudian ialah itu semua adalah mustahil dalam dunia kompleks hari ini,” kata Vanourek.

Menurutnya, apabila individu berada dalam persekitaran dan budaya yang betul, mereka mempunyai keupayaan yang hebat untuk menyelesaikan masalah, mengurangkan kos, mewujudkan peluang baharu dan menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik untuk semua – tetapi cuma jika pemimpin-pemimpin mewujudkan jenis peluang yang betul.

“Kadang-kadang saya bertemu dengan individu-individu yang bercakap dengan saya mewakili suara seorang. Kadang-kadang saya berjumpa dengan seseorang yang tidak ada gelaran atau kuasa yang berkata: ‘Bob, saya kurang pasti apa yang anda rancang untuk lakukan di sana adalah perkara yang betul.’ Dan selagi saya mewujudkan budaya jenis itu, dinamik kumpulan jenis itu, prestasi kami bertambah baik,” kongsi Vanourek.

Kajian menunjukkan bahawa itu adalah hakikatnya. Menurut 2018 Deloitte Global Human Capital Trends, responden daripada organisasi yang golongan C-suitenya selalu berkolaborasi dalam mengusahakan kerja saling bergantungan buat jangka panjang adalah organisasi yang kebarangkalian tinggi menjangkakan pertumbuhan 10 peratus atau lebih pada tahun akan datang. Langkah ke arah persekitaran di mana kepimpinan kolaboratif disambut baik semakin menjadi antara trend yang paling berkuasa di serata dunia.

“Saya belajar bahawa kepimpinan yang hebat adalah prestasi  kumpulan, bukan perbuatan solo. Fikirkan keupayaan mereka yang mencabar anda untuk mewujudkan budaya jenis itu, persekitaran jenis itu. Bukan semuanya beban tanggungan anda sendiri. Bersama secara kolaboratif, anda dan rakan kerja anda boleh menghasilkan kerja yang hebat,” kata Vanourek.

Sumber
Sumber