Anda di sini

Penjawat awam didakwa enam tuduhan tuntutan palsu

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas enam tuduhan melakukan tuntutan palsu sebanyak RM1,858.60.

Bagaimanapun Salizan Mohd Ali, 48, yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh sebagai penolong pegawai tadbir pejabat di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Sabah, didakwa memperdayakan prinsipal pengarah dan penolong kementerian terbabit.

Iaitu dengan memberikan kepada mereka kenyataan Tuntutan Elaun Perjalanan Dalam Negeri yang mengandungi butiran palsu, tuntutan itu adalah bayaran sewa hotel dan elaun perjalanan.

Semua kesalahan itu dilakukan pada 1 Februari hingga 6 Disember 2016 di Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Sabah.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara selama tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang tinggi.

Sementara itu, Salizan juga mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan alternatif kerana menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan sebanyak RM1,955.80.

Kesalahan itu dilakukan pada 20 Januari hingga 6 Disember 2016 di tempat yang sama.

Sabit salah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 471 kanun sama, penjara selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin dari SPRM menawarkan ikat jamin diberikan kepada tertuduh sebanyak RM10,000 dicagarkan dua penjamin tempatan dengan mengenakan syarat tambahan.

Namun tertuduh memohon jumlah terbabit dikurangkan kerana isterinya tidak bekerja dan memberitahu mahkamah dirinya masih bekerja.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 30 September terhadap tertuduh yang diberikan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan isterinya hendaklah sebagai penjamin.

Selain itu, Abu Bakar memerintahkan tertuduh melaporkan dirinya di pejabat SPRM sekali dalam tempoh dua bulan.

  • oleh
  • Advertisement