Anda di sini

85 peratus graduan IPS berjaya dapat pekerjaan

Advertisement
 Dr Abdul Rahman (kiri) menyampaikan replika cek kepada Mohd Shahmiza (dua kanan) sambil diperhatikan Dr Alvin (dua kiri) pada Majlis Konvokesyen Ke-14 IPS di Semenggok semalam.
TAHNIAH: Dr Abdul Rahman (kiri) menyampaikan replika cek kepada Mohd Shahmiza (dua kanan) sambil diperhatikan Dr Alvin (dua kiri) pada Majlis Konvokesyen Ke-14 IPS di Semenggok semalam.

KUCHING: Sebanyak 85 peratus graduan Institut Pertanian Sarawak (IPS) berjaya mendapat peluang dalam sektor pekerjaan negara.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peratusan itu sekali gus membuktikan bahawa program Sijil Pertanian masih relevan dan berupaya menyumbang kepada tenaga mahir yang diperlukan sektor berkaitan di sini.

“Jumlah graduan keluaran Jabatan Pertanian Sarawak telah meningkat kepada 1,566 orang sejak ia dimulakan pada 1985 dan ramai yang telah menyumbang sebagai tenaga mahir dalam bidang pertanian negeri.

“Peningkatan jumlah modal insan itu membantu dalam mentransformasikan komuniti petani kepada komuniti berpendapatan tinggi menjelang 2030 di samping mengurangkan jurang pendapatan masyarakat bandar dan luar bandar,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Konvokesyen Ke-14 IPS di sini semalam.

Tambah beliau, walaupun struktur ekonomi telah berubah daripada pertanian kepada perindustrian namun sektor pertama ini masih relevan untuk memenuhi keperluan negara terutama dalam usaha  menangani isu keselamatan makanan dan mengurangkan nilai import makanan dari luar negara.

Seramai 100 graduan IPS menerima ijazah masing-masing setelah menamatkan pengajian mereka dalam Program Pertanian Malaysia Sesi 2017/2019.

Graduan program Sijil Pertanian telah dilengkapi dengan pengetahuan kurikulum nasional yang dinamik yang sentiasa ditambah baik mengikut keperluan industri.

Justeru, beliau mahu graduan sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan teknologi untuk memastikan produktiviti pekerja dan pengeluaran hasil pertanian dapat dipertingkatkan.

Pada masa yang sama, IPS turut menawarkan Program Latihan Kemahiran Peringkat Kebangsaan (PLKPK) menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (Bidang Tanaman) sejak 2017 dengan pembiayaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

Salah seorang pelajar, Mohd Shahmiza Mortadza telah dikurniakan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Sesi 2017/2019 dengan membawa pulang RM500 pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat, Datuk Roland Sagah dan Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak Dr Alvin Chai Lian Kuet.

  • oleh
  • Advertisement