Anda di sini

Perluas kesedaran saringan kanser serviks di pedalaman Sarawak

Advertisement
 (Barisan hadapan, dari tiga kanan) Dr Yolanda, Dr Wo, Hafsah dan Dr Teo bergambar bersama orang awam dan pasukan ROSE yang hadir semasa pelancaran ROSE di pekarangan Klinik Teo semalam.
BAGUS: (Barisan hadapan, dari tiga kanan) Dr Yolanda, Dr Wo, Hafsah dan Dr Teo bergambar bersama orang awam dan pasukan ROSE yang hadir semasa pelancaran ROSE di pekarangan Klinik Teo semalam.

MIRI: Pengetahuan mengenai kanser serviks perlu diperluas ke kawasan pedalaman bagi meningkatkan kesedaran pentingnya pemeriksaan awal untuk mengurangkan penyakit itu.

Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Hafsah Harun, setakat ini masih ramai wanita di Sarawak khususnya di kawasan pedalaman yang menderita kanser serviks percaya ia disebabkan ilmu hitam.

“Kepercayaan ini timbul kerana kekurangan kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit ini secara mendalam.

“Kita memerlukan lebih ramai wanita mendidik diri sendiri mengenai kanser serviks. Sebagai wakil rakyat, tugas kita bukan semata-mata berkempen untuk memenangi undi, namun meningkatkan kesedaran rakyat di rumah panjang untuk menjadi seorang yang sihat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan projek perintis pemeriksaan saringan kanser serviks menerusi prosedur persampelan sendiri melalui Projek Hentikan Halangan Untuk Melakukan Skrin Serviks atau ROSE di Klinik Teo milik Dr Michael Teo yang juga Ahli Parlimen Miri, semalam.

Hafsah berbangga Miri menjadi perintis pertama program ROSE di Sarawak dan menyasarkan wanita berusia 30 hingga 65 tahun sekali gus menjadi alternatif kaedah lazim pap smear.

“Saya gembira kerana Dr Teo merintis projek ROSE di Sarawak dan yakin usaha ini dapat merintis jalan ke arah sifar wanita menderita serviks kanser tidak lama lagi.

“Saya berharap projek itu diperluaskan di kawasan pedalaman bagi memastikan lebih ramai wanita mendapat manfaatnya,” katanya sambil menambah beliau sendiri akan membawa pasukan ROSE ke Kuching untuk saringan tersebut.

Terdahulu, Dr Teo dalam ucapannya berkata, inovasi ROSE adalah pendekatan terbaik bagi meningkatkan kesedaran pemeriksaan awal mengelak kanser yang dideritai kaum wanita.

“Saya yakin kaedah ROSE dapat mengurangkan atau sifar wanita yang menderita kanser serviks. Sepanjang 40 tahun membuka klinik, saya kerap berhadapan dengan pesakit kanser serviks yang sudah berada di tahap tiga dan empat, ini menyedihkan kerana jika dikesan awal ia dapat dirawat,” katanya.

Dr Teo yang merupakan ginekologi berkata, kliniknya menerima purata seorang pesakit dan seorang disyaki kanser serviks setiap bulan.

“Saya berharap teknologi baharu ini dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara. Kita juga akan memperluas ROSE ke kawasan lain termasuk pedalaman Belaga,” katanya sambil menambah lebih ramai wanita dijangka menjalaninya kerana lebih mudah, selesa dan keputusan tepat.

Menurut Dr Teo, kit digunakan juga tidak memerlukan peralatan klinikal khusus seperti pap smear tetapi penguji boleh melakukan sendiri bagi mengambil sampel sendiri.

“Kaedah ini lebih menyenangkan, tidak menyakitkan dan saya amat berharap ramai golongan wanita bersedia membuat sendiri saringan kanser serviks dan tidak rasa malu berhadapan dengan pegawai perubatan,” jelasnya.

ROSE menawarkan cara pencegahan dan penghapusan kanser serviks daripada gabungan tiga elemen iaitu pensampelan sendiri, ujian Vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) dan penggunaan platform digital.

Produk ini dibangunkan hasil kerjasama Universiti Malaya (UM) dan VCS Foundation (VCSF) Australia membolehkan wanita menjalankan ujian sendiri berbanding kaedah pap smear sebelum ini.

Tidak seperti pap smear, ROSE menggunakan kaedah persampelan sendiri bukan sahaja memudahkan malah begitu menyenangkan.

Persampelan sendiri itu memberi keputusan lebih cepat iaitu dalam masa dua minggu bekerja menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sekali gus membolehkan responden terus merujuk klinik untuk rawatan susulan jika mereka ada tanda kanser serviks.

Hadir sama Perunding Ginekologi Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Woo Yin Ling dan fellow penyelidik dari St Georges University  of London Dr Yolanda Augustin.

Advertisement