Anda di sini

19 notis, kompaun dikeluar kepada kontraktor di tapak pembinaan

Advertisement
 PARA pekerja binaan dikumpulkan untuk pemeriksaan.
KUMPUL: PARA pekerja binaan dikumpulkan untuk pemeriksaan.

SANDAKAN: Sebanyak 19 notis dan satu kompaun telah dikeluarkan kepada kontraktor dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Antara Jabatan 2019 yang diadakan di sebuah tapak pembinaan di Batu 1 Setengah, di sini semalam.

Daripada jumlah itu, tujuh notis dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang meliputi Seksyen 33A(6) dan Seksyen 27.

Pengurus Cawangan CIDB Mohd Hanif Abdul Rahman berkata, dua seksyen itu melibatkan kesalahan mengambil penyelia tapak binaan dan pekerja binaan mahir yang tidak diakreditasi serta menghendaki butir-butir mengenai kontraktor dan projek.

Pihaknya juga mengenal pasti seramai 97 pekerja tidak berdaftar dan 155 pekerja yang belum diakreditasi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Antara Jabatan 2019 bersama enam agensi kerajaan yang lain.

Antaranya, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ST) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Menerusi operasi itu juga, lapan notis telah dikeluarkan oleh JKKP atas kesalahan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994.

Sementara itu, JKNS mengeluarkan dua notis dengan kompaun bernilai RM1,500 selepas menemukan tempat pembiakan larva, dan ST mengeluarkan dua notis bagi kesalahan pemadam api tidak disediakan serta pemadam api telah tamat tempoh.

Dalam operasi yang sama, seramai 244 pekerja telah diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 84 orang telah ditahan JIM kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

 Pekerja binaan diperiksa dalam pelbagai segi oleh agensi kerajaan yang terlibat operasi itu.
PERIKSA: Pekerja binaan diperiksa dalam pelbagai segi oleh agensi kerajaan yang terlibat operasi itu.

Mohd Hanif berkata, operasi bersepadu itu dijalankan untuk mewujudkan kerjasama antara jabatan dan agensi yang menguatkuasakan peraturan atau undang-undang masing-masing di tapak binaan supaya tugas-tugas penguatkuasaan menjadi lebih mudah dan efektif.

Jelasnya, tujuan dan objektif operasi itu adalah untuk memberi kesedaran dan mendidik semua pemain industri pembinaan agar mematuhi keperluan perundangan dan peraturan standard operasi (SOP) di tapak binaan terutamanya di bawah Akta 520 dan akta lain yang berkaitan.

Untuk rekod, bagi tahun ini, sebanyak 54 notis telah dikeluarkan kepada kontraktor Sandakan meliputi Tongod, Telupid, Beluran dan Kinabatangan manakala, sebanyak 12 kertas siasatan telah dibuka ke atas kontraktor yang meliputi pelbagai kesalahan.

  • oleh
  • Advertisement