Anda di sini

Jahit pakaian Jalur Gemilang jadi rutin wajib

Advertisement
 Mardhiah dan Omar serta anak mereka (dari kiri) Ibrah, Kaisah, Fatini, Muhammad Najib  dan Muhammad Hasif, memperagakan pakaian yang dijahit menggunakan corak Jalur Gemilang ketika ditemui Bernama di rumahnya di Balik Bukit Tambak Bugis, Melaka, kelmarin. — Gambar Bernama
BANGGA: Mardhiah dan Omar serta anak mereka (dari kiri) Ibrah, Kaisah, Fatini, Muhammad Najib dan Muhammad Hasif, memperagakan pakaian yang dijahit menggunakan corak Jalur Gemilang ketika ditemui Bernama di rumahnya di Balik Bukit Tambak Bugis, Melaka, kelmarin. — Gambar Bernama

MELAKA: Bermula dengan sekadar ingin mencuba dan menguji kreativiti diri sendiri menjahit pakaian menggunakan Jalur Gemilang lapan tahun lepas, aktiviti itu kini menjadi rutin wajib bagi seorang tukang jahit, Mardhiah Nasir, 32, terutamanya ketika menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada bulan Ogos setiap tahun.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, idea menjahit pakaian Jalur Gemilang itu tercetus apabila beliau pada awalnya menjahit pakaian tersebut untuk anaknya dan berasa bangga apabila pakaian daripada gabungan beberapa helai Jalur Gemilang itu diperagakan sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Pada mulanya, saya menjahit pakaian Jalur Gemilang hanya untuk tiga orang dan anak-anak kecil itu kelihatan sangat comel ketika memperagakannya. Tambahan pula, minat saya ini mendapat sokongan daripada suami, mak dan ayah, jadi bermula sejak itu, setiap tahun saya tidak akan menolak tempahan untuk menjahit pakaian Jalur Gemilang.

“Selain dapat meningkatkan rasa cinta pada Jalur Gemilang dan memupuk semangat patriotik dalam diri anak-anak terutama pada Bulan Kemerdekaan, dengan pakaian itu juga membuka laluan untuk mereka menyertai pertandingan pakaian Jalur Gemilang atau ‘merdeka costume’ yang sering diadakan setiap bulan Ogos,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau yang menjahit pakaian Jalur Gemilang di rumahnya sendiri di Balik Bukit, Tambak Bugis di sini berkata kreativiti itu juga kini menjadi salah satu sumber pendapatannya kerana beliau akan menerima sekurang-kurangnya 10 tempahan pakaian menggunakan Jalur Gemilang menjelang bulan Ogos.

Menurutnya, untuk menjahit ‘dress’ kanak-kanak sekurang-kurangnya enam hingga 12 Jalur Gemilang bersaiz 0.6 meter x 1.2 meter diperlukan, manakala untuk pakaian dewasa sekurang-kurangnya empat Jalur Gemilang bersaiz 0.9 meter x 1.8 meter dan harga tempahan adalah antara RM60 dan RM150.

Mardhiah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Along berkata,  selain menerima tempahan, beliau juga menyewakan pakaian Jalur Gemilang pelbagai saiz lebih 50 helai untuk lelaki dan perempuan termasuk aksesori seperti tudung, tanjak dan topi dengan harga bermula RM60.

Katanya, menjahit pakaian Jalur Gemilang bukan hanya sekadar menggabungkan beberapa bendera itu, sebaliknya perlu mematuhi sensitiviti kerana ianya adalah simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara.

“Pada saya, bila menjahit pakaian menggunakan Jalur Gemilang, kita perlu lebih berhati-hati terutama kedudukan bulan dan bintang. Biasanya saya akan pastikan elemen bulan dan bintang pada Jalur Gemilang akan diletakkan di atas paras pinggang atau di bahagian dada.

“Kain atau seluar juga pada saya ia tidak boleh meleret sehingga mencecah tanah. Prinsip itu kena ada kerana selalu juga nampak orang jahit pakaian Jalur Gemilang semberono sahaja,” katanya mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya, Mariam Aman sejak berusia 10 tahun.

Tambahnya, bekalan Jalur Gemilang yang dijual di kedai atau pasar raya terutama pada Bulan Kemerdekaan sering kehabisan kerana mendapat permintaan yang tinggi bagi meraikan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini. — Bernama

Advertisement