Anda di sini

Tiga jam bertarung nyawa bertahan di atas pagar serambi rumah

Advertisement
 Hasman dan isterinya bergotong-royong membersihkan kawasan halaman rumah mereka akibat kesan banjir.
GOTONG-ROYONG: Hasman dan isterinya bergotong-royong membersihkan kawasan halaman rumah mereka akibat kesan banjir.

TAWAU: Rusman Gandeng, 52, isteri dan empat anaknya terpaksa bertarung nyawa berdiri di atas pagar serambi rumah mereka selama tiga jam susulan kejadian banjir kilat.

Insiden cemas itu diharungi enam anak-beranak itu akibat terperangkap ketika air banjir mengalir deras dan laju sehingga mencecah paras enam kaki dari lantai rumah mereka.

Semasa ditemui Utusan Borneo di rumahnya di Kg Pasir Putih, Rusman berkata banjir kilat itu mula disedarinya berlaku dari jam 5.50 pagi sebelum surut pada 10.30 pagi. 

“Kami terpaksa berdiri di atas pagar serambi rumah kerana tidak dapat keluar akibat arus air yang laju dan deras, malah naik sehingga paras dahi dengan begitu cepat,” katanya.

Beliau mengarahkan isteri dan anak-anaknya supaya bertahan dan berdiri di atas pagar serambi rumah kerana tidak mempunyai pilihan lain semasa menghadapi detik cemas itu.

Menurutnya, kejadian itu adalah yang kedua terburuk pernah dilaluinya selepas insiden banjir besar yang berlaku pada 2010 sepanjang 30 tahun menetap di kampung berkenaan. 

 Ratna terpaksa menggunakan air banjir untuk membasuh pakaiannya sekeluarga akibat bekalan air paip yang terputus.
BASUH KAIN: Ratna terpaksa menggunakan air banjir untuk membasuh pakaiannya sekeluarga akibat bekalan air paip yang terputus.

“Saya harap bantuan kecemasan oleh pasukan penyelamat supaya dapat digerakkan semasa air banjir mula berlaku, khususnya kepada yang menerima nasib seperti kami.

“Kita sudah lama mendengar khabar bahawa ada projek tebatan banjir yang hendak dilaksanakan kerajaan, kita harap projek itu janganlah ditangguhkan lagi,” katanya.

Mangsa banjir, Hasman Sattu, 37, berkata pengalaman banjir kali ini disifatkannya sebagai mendebarkan kerana paras air yang tinggi, malah arus air deras dan laju.

Hasman berkata, sekurang-kurangnya enam kereta di kawasan tempat tinggalnya tidak sempat dikeluarkan oleh pemiliknya akibat air banjir yang naik dengan cepat.

“Jam 5.50 pagi saya dan isteri mengeluarkan dua kereta kami ke kawasan Jaya Mawar (jalan utama) dan ketika itu air sudahpun sampai ke paras pinggang dan sangat deras.

“Ketika itu, orang kampung berpusu-pusu mengeluarkan kenderaan masing-masing dan selepas beberapa minit kemudian kami berpatah balik semula ke rumah,” katanya.

Beliau berkata ketika kejadian berlaku juga keluarganya seramai lapan orang memilih untuk terus bertahan di rumah dan bersyukur kerana air tidak mencecah lantai rumahnya.

Bagaimanapun, Hasman dengan bantuan seorang penduduk kampung sempat membantu mengeluarkan jirannya yang terperangkap di dalam rumah bersama anak perempuannya.

“Kakak (jiran) itu tidak boleh buka pintu sebab arus kuat menolak daun pintu rumahnya, jadi saya dan kawan terpaksa menendang pintunya sebelum bawa dia dan anaknya keluar.

“Anak perempuannya berusia empat tahun hanya menangis, dan dia pula tidak mahu keluar kerana tidak pandai berenang dan air pula sudah sampai ke paras leher.

“Keadaan begitu kelam-kabut dan mujur akhirnya dia bersetuju ikut kami sebelum berjaya diselamatkan bersama-sama anak perempuannya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap kerajaan menjalankan projek tebatan banjir dengan segera, sebelum insiden banjir lebih buruk menimpa penduduk kampung berkenaan.

“Kita masih beruntung setakat ini kerana belum ada kes kematian dilaporkan, tetapi tidak perlulah kita menunggu kes kehilangan nyawa baharu mahu bertindak,” katanya.

Ratna Sulle, 58, yang juga seorang surirumah dan menyewa di bawah kolong rumah pula terpaksa bekerja keras menyelamatkan tiga cucunya semasa banjir kilat itu berlaku.

Beliau berkata, air sudah mencecah paras pinggang semasa dia berusaha menyelamatkan tiga cucunya yang berumur antara satu tahun hingga enam tahun ke tingkat atas rumah.

 Rusman dan isterinya menceritakan semula detik-detik cemas yang dialami oleh mereka sekeluarga semasa banjir kilat berlaku.
TABAH: Rusman dan isterinya menceritakan semula detik-detik cemas yang dialami oleh mereka sekeluarga semasa banjir kilat berlaku.

“Air banjir setinggi kira-kira tujuh kaki dan kawasan rumah sewa saya tenggelam habis sebab rendah tetapi syukur kerana semua kami dapat menyelamatkan diri.

“Semua barang peralatan elektronik seperti televisyen dan peti sejuk di rumah juga rosak kerana tidak sempat dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, selain Kg Pasir Putih, kawasan lain yang turut terjejas termasuklah Kg Rawa-Rawa, Kg Serudung Baru, Batu 2 Jalan Apas dan sekitarnya, Batu 15, Kg Kuala Apas serta sekitar asrama Maktab Rendah Sains Mara.

  • oleh
  • Advertisement