Anda di sini

Silinder gas keluaran Mygaz dijamin selamat

Advertisement

KUCHING: Pengedar gas petroleum cecair (LPG) MyGaz memberi jaminan 34,431 silinder gas keluaran syarikat itu di pasaran selamat.

Pengurus Jualan Wilayah MyGaz Alex John berkata, tiada keperluan untuk menarik balik silinder LPG keluarannya dari pasaran kerana silinder LPG mengalami kerosakan injap masih berada di loji isian syarikat itu di Muara Tebas dekat sini.

“Silinder-silinder yang rosak ini masih di loji isian (kami). Yang berada di pasaran dalam keadaan baik.

“Oleh itu, tidak ada keperluan untuk menarik balik silinder-silinder LPG kami dari pasaran,” katanya kepada The Borneo Post semalam.

Alex berkata MyGaz tidak akan membenarkan mana-mana silinder yang rosak dipasarkan kerana tindakan itu akan menyebabkan mereka kehilangan lesen pengagihan LPG di negeri ini.

Justeru beliau menggesa pengguna bersabar sementara pihaknya mengambil langkah-langkah pemulihan.

Dilaporkan berlaku kekurangan bekalan silinder LPG di Sarawak sejak Julai tahun ini selepas MyGaz mendapati kerosakan injap pada silinder keluarannya.

Saham pasaran Petronas dan MyGaz untuk membekalkan LPG di Sarawak ialah 60 peratus dan 40 peratus masing-masing.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi kenyataan akhbarnya berkata sebagai sebahagian pelan tindakan MyGaz menyelesaikan masalah kekurangan bekalan silinder, syarikat itu telah memohon kira-kira 9,912 silinder dari Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun menurut KPDNHEP syarikat itu belum dapat memastikan bila bekalan silinder berkenaan akan dihantar.

Syarikat berkenaan juga memaklumkan ia akan membeli tangki-tangki baharu daripada pembekal dan telah menerima 5,000 unit injap baharu, bagaimanapun hanya 300 unit dapat dipasang dalam tempoh sehari.

Advertisement