Anda di sini

RB lancar jualan bagi penerbangan RB Link ke Bintulu, Sibu

Advertisement
(Dari kiri) Phillip, Kartini, Bennedict dan Ai-Ling beraksi dengan gegantung sebagai simbolik pelancaran jualan penerbangan RB Link ke Bintulu dan Sibu.
LANCAR:(Dari kiri) Phillip, Kartini, Bennedict dan Ai-Ling beraksi dengan gegantung sebagai simbolik pelancaran jualan penerbangan RB Link ke Bintulu dan Sibu.

KUCHING: Royal Brunei Airlines (RB) memperluaskan perkhidmatannya dengan melancarkan jualan bagi penerbangan RB Link ke Bintulu serta Sibu sebagai perkhidmatan baharunya.

Penerbangan RB Link itu akan mula beroperasi ke Bintulu  sebanyak lima kali seminggu (Selasa, Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad) dari 5 November 2019.

Sementara bagi Sibu, operasi penerbangan bermula dengan enam kali seminggu pada Isnin, Rabu, Khamis, dan dua kali pada Sabtu dan Ahad.

Naib Presiden Kanan Royal Brunei Airlines Ai-Ling Ng berkata, penerbangan RB Link yang dilancarkan itu akan menghubungkan Brunei dengan bandar-bandar di Borneo serta kerjasamanya dengan Malindo Air, Malaysia yang telah bermula pada 10 Julai 2019.

“Penerbangan RB Link menjadi pintu gerbang kepada Borneo dan laluan lain. Ini adalah inovasi terbaharu kami yang meningkatkan produk dan perkhidmatan di seluruh rangkaian kami dan memperluaskan seluruh pasaran kami kepada 21 juta orang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pasaran di bandar-bandar yang disasarkan kini terlalu tinggi dan mereka perlu meningkatkan khidmat penyambungan yang berpatutan bagi menampung keperluan penumpang mereka.

“Dengan menyediakan perkhidmatan RB Link, kami yakin perhubungan udara akan melonjak di rantau ini, yang membolehkan pelbagai bandar dan pihak berkepentingan mendapat faedah serta meningkatkan kesalinghubungan udara,” katanya.

Beliau berkata menghubungan Borneo ke rangkaian laluan lain merupakan pembangunan signifikan kepada perhubungan udara mereka khasnya di rantau BIMP-EAGA.

“Pesawat dan rakan perniagaan serantau kami dipilih dengan teliti untuk memastikan kesesuaian antara saiz pasaran dan keperluan kapasiti tempat duduk,” ujarnya lagi.

Penerbangan jarak pendek katanya, adalah yang terbaik berkaitan dengan pesawat seperti ATR 72 yang telah direka untuk memenuhi pasaran serantau.

Penerbangan RB Link akan disokong dengan dua pesawat baharu ATR 72-600 yang dioperasikan Malindo Air dan kru penerbangan yang dilatih mengikut standard perkhidmatan RB.

Pesawat itu menyaksikan susun atur dalaman dengan 72 kerusi ekonomi, penumpang boleh menikmati layanan khidmat seperti makanan serta minuman, yang mana hanya untuk penerbangan melebihi satu jam.

“Elaun bagasi bagi setiap penumpang adalah 15kg manakala tambahan elaun bagasi akan tertakluk kepada tambang untuk penerbangan jarak jauh,” kata Ai-Ling.

Terkini, RB mengadakan promosi dengan harga RM195 setiap seorang bagi tiket pergi dan balik penerbangan Kuching-Bandar Seri Begawan-Kuching untuk tempoh sebulan bermula kini.

Promosi berkenaan akan diteruskan sebaik sahaja penerbangan ke destinasi Sibu dan Bintulu masing-masing dibuka untuk RB Link nanti.

Sidang media semalam turut dihadiri Konsul Jeneral Brunei Darussalam di Kuching Pengiran Kartini Pengiran Tahir, Pengarah Pemasaran Lembaga Pelancongan Sarawak Bennedict Jimbau dan Pengurus Jualan RB bagi Malaysia Timur Phillip Lokupi.

Advertisement