Anda di sini

Pusat Khidmat Nangka sumbang peralatan khairat kepada Kampung Sentosa Salim

Advertisement
 Dr Annuar menyampaikan sumbangan berupa peralatan khairat kepada Abdul Yakub sambil disaksikan Junaidi (empat kanan), Hafis (lima kanan) dan yang lain.
KAMI BANTU: Dr Annuar menyampaikan sumbangan berupa peralatan khairat kepada Abdul Yakub sambil disaksikan Junaidi (empat kanan), Hafis (lima kanan) dan yang lain.

SIBU: Pusat Khidmat Nangka memberi sumbangan peralatan khairat kepada Jawatankuasa Pengundi Nangka Kampung Sentosa, Salim Ahad lalu bagi memudahkan urusan waris ahli keluarga untuk mengadakan majlis tahlil.

Menurut jurucakapnya, Mohd Junaidi Sambang antara peralatan yang diterima adalah sebuah kanopi, 50 kerusi dan 10 meja.

“Dengan sumbangan itu ia dapat meringankan beban keluarga waris di kawasan Kampung Sentosa termasuk Kampung Belatok dan Sukun untuk mengadakan majlis tahlil.

“Pihak jawatankuasa akan menghantar semua peralatan khairat tersebut ke rumah keluarga waris untuk digunakan secara percuma selama seminggu,” katanya.

Sumbangan tersebut telah disampaikan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengundi Nangka Kampung Sentosa Abdul Yakub Dollah.

Di samping itu, Junaidi memberitahu bahawa pihak jawatankuasa juga telah berjaya mengesan seramai 186 pengundi Nangka yang tinggal di Kampung Sentosa Salim.

Dengan gerak kerja lebih drastik dan teratur, beliau yakin bahawa lebih ramai pengundi Nangka dapat dikesan sehingga penghujung tahun ini.

“Kita juga akan melantik ketua dan ahli jawatankuasa untuk setiap lorong bagi memantapkan lagi jentera serta mengenal pasti setiap pengundi Nangka yang tinggal di Kampung Sentosa,” katanya.

Menurutnya, Dr Annuar juga telah bersetuju memberi sumbangan bagi kerja baik pulih bilik gerakan supaya lebih sistematik dan teratur.

“Bilik gerakan ini turut kita gunakan untuk mengadakan kelas tuisyen untuk pelajar di sekitar kawasan Kampung Sentosa, di samping kelas mengaji al-Quran untuk kanak-kanak dan dewasa,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi Biro Kebajikan Agama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sibu Abang Hafis Abang Kassim.

Advertisement