Anda di sini

Pesta buah-buahan mampu tarik pelancongan Sukau

Advertisement
 Saddi bersama isteri, Datin Mordiah Jambri Abdullah serta Jukrana (kanan) dan Awang Walid.
SOKONGAN: Saddi bersama isteri, Datin Mordiah Jambri Abdullah serta Jukrana (kanan) dan Awang Walid.

SUKAU: Pekebun buah-buahan di kawasan ini digesa agar memperkasakan segala aktiviti pengawasan bidang pertanian itu bagi membolehkan penganjuran Pesta Buah-Buahan Tempatan di sini terus dapat dijayakan setiap tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman berkata, penghasilan produk buah-buahan berkualiti serta mencukupi permintaan,  bukan saja boleh meningkatkan pendapatan penguasaha bila tiba musim penghasilannya.

Tetapi produk itu boleh menjadi pelengkap dalam menarik kehadiran pelancong luar ke kawasan berkenaan.

"Saya berpendapat jika para pemilik dusun buah-buahan melakukan pengawasan rapi, sudah tentu program seperti ini boleh dianjurkan setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buah-Buahan Tempatan dimiliki pengusaha Jukrana Zakaria di Kampung Perpaduan Datu Ugi, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pegawai Pertanian Daerah Kinabatangan Awang Walid. 

Saddi berkata, program yang berteraskan buah-buahan, makanan tradisi dan sebagainya boleh memberi nilai tambah kepada kepelbagaian tarikan  bidang eko-pelancongan di Sukau yang sememangnya terkenal dengan keunikan serta keindahan alam semula jadi.

Ia termasuk kewujudan hidupan liar dan khazanah warisan berharga seperti Gua Gumantong, Kuburan Lama Batu Tulog, kesan-kesan sejarah kehadiran Belanda, British dan Jepun, dan banyak lagi.

Katanya, hampir setiap penduduk dari 42 kampung di Sukau memiliki tanah sekurang-kurangnya satu ekar yang dikhususkan untuk tanaman buah-buahan.

"Bagaimanapun, sebahagian daripada penduduk tidak memberikan pengawasan rapi kepada aktiviti pertanian ini. 

"Maka perubahan sikap perlu dilakukan demi membolehkan penduduk meraih pendapatan yang membantu mereka menyara kehidupan keluarga,” katanya.

Beliau juga meminta pertanian daerah itu supaya melakukan gerakan yang lebih berkesan untuk mempastikan masyarakat di Sukau aktif dalam menjayakan aktiviti pertanian.

“Saya menggesa penduduk rajin menimba ilmu pertanian daripada saudara Awang Walid yang tergolong daripada kakitangan jabatan ini, yang mempunyai pengetahuan tinggi berkaitan soal pertanian. Maka jangan sia-siakan peluang ini sebelum beliau bersara,” katanya.

Beliau juga menggesa pemilik dusun buah-buahan di sini agar mencontohi kegigihan Jukrana yang mengambil pendekatan sikap kreatif dan berani menonjolkan diri dalam menganjurkan aktiviti pertanian sedemikian demi meraih pendapatan yang lebih.

Di pihak beliau, Saddi bersedia memberikan segala bantuan yang termampu demi mempastikan rakyat di kawasan ini mencapai kemajuan ekonomi dalam segala bidang yang mereka caburi.

Advertisement