Anda di sini

Pencapaian memuaskan

Advertisement
 Abang Johari menerima cenderamata daripada Gary (dua kiri) selepas kunjungan terhadap beliau di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, semalam. — Gambar Chimon Upon
TERIMA KASIH: Abang Johari menerima cenderamata daripada Gary (dua kiri) selepas kunjungan terhadap beliau di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Tujuh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dipersetujui bersama menunjukkan satu pencapaian perbincangan memuaskan termasuk kepada Sarawak.

Demikian kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, mengulas pengumuman Jabatan Perdana Menteri pada Isnin, tentang tujuh isu MA63 telah mendapat persetujuan bersama manakala 14 isu masih memerlukan perbincangan lanjut.

Menurut beliau, daripada tujuh terbabit, enam daripada yang dipersetujui adalah berkaitan dengan Sarawak.

“Bagaimanapun masih terdapat beberapa isu yang masih dibincangkan di bawah Jawatankuasa Teknikal MA63 dan satu daripadanya adalah semakan semula kewangan, yang kini dalam perbincangan.

“Sementara satu lagi berkaitan untuk mengekalkan status Mahkamah Tinggi Borneo, yang saya rasakan telah dipersetujui secara prinsipnya. Ini adalah antara 14 isu terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) yang diketuai Presidennya Gary Ningkan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Bagaimanapun Abang Johari menegaskan, isu berkenaan diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal MA63 untuk perbincangan lanjut.

Ditanya mengenai perbincangan berkaitan isu minyak dan gas, Abang Johari mengesahkan bahawa ia dibincangkan antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sarawak dan Ketua Menteri Sabah sahaja.

“Isu ini tidak dibincangkan dalam Jawatankuasa Pemandu kerana ia satu isu yang istimewa.

“Kita telah memutuskan bahawa isu minyak dan gas akan dibincangkan antara Perdana Menteri, saya dan Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Sementara itu, antara tujuh isu MA63 telah dipersetujui menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, ialah tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan, pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas, pelaksanaan kerja raya persekutuan dan negeri, tenaga buruh, kuasa negeri ke atas isu kesihatan, isu pertanian dan perhutanan dan pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan (Sabah).

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, rundingan mengenai MA63 itu adalah selaras dengan Janji 40 yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan MA63.

Jawatankuasa Khas Kabinet itu dibantu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja dan diurus setiakan oleh pasukan petugas khas dikenali sebagai Taskforce MA63.

Mesyuarat pertama telah diadakan pada 17 Disember 2018 dan 21 isu telah diterima oleh Jawatankuasa Khas Kabinet ini untuk diteliti dan dikaji dengan 13 isu tuntutan dikenal pasti sebagai isu bersama melibatkan Kerajaan Sarawak dan Sabah manakala lapan isu lain melibatkan tuntutan Kerajaan Sabah sahaja, menurut kenyataan itu.

  • oleh
  • Advertisement