Anda di sini

Lelaki lemas, disyaki terjatuh ketika diserang sawan

Advertisement
 Polis dan penduduk kampung berusaha mengeluarkan mayat mangsa dari laut.
KERJASAMA: Polis dan penduduk kampung berusaha mengeluarkan mayat mangsa dari laut.

TAWAU: Mayat seorang lelaki yang ditemukan di laut berhampiran Jambatan 5 Kg Hidayat Batu 4 Jalan Apas di sini, awal pagi semalam, disyaki terjatuh ketika diserang penyakit sawan.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata pemeriksaan awal yang dijalankan terhadap tubuh mangsa, 20, mendapati tidak ada sebarang tanda mencurigakan ditemukan.

“Kita juga mengesyaki tidak ada berlaku perbuatan jenayah dan ibu mangsa juga mengesahkan bahawa anak lelakinya menghidap penyakit sawan,” katanya.

Katanya kejadian yang menimpa mangsa, Herman Ismail, 25, itu dipercayai berlaku antara jam 12.15 tengah malam hingga 6.28 pagi sebelum mayatnya ditemukan terapung.

Peter berkata mayat mangsa lengkap berpakaian semasa ditemukan penduduk kampung dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

“Hasil siasatan juga mendapati kedudukan tempat tinggal mangsa terletak kira-kira 2km dari lokasi mayatnya ditemukan dan proses pengecaman mangsa dilakukan oleh ibunya.

“Mangsa seorang diri di rumah kerana ahli keluarganya yang lain keluar bekerja, namun mangsa didapati tiada di rumah semasa ibunya pulang kira-kira jam 12.20 tengah malam.

“Ibunya cuba mencari mangsa di sepanjang jambatan dan sekitar kawasan tempat tinggal mereka namun gagal, sehinggalah menerima khabar penemuan mayat anaknya,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tawau mendapati punca kematian akibat lemas dan tidak ada sebarang unsur jenayah ditemukan pada tubuh mangsa.

Terdahulu, video berdurasi 25 saat yang memaparkan usaha polis dan orang kampung mengeluarkan mayat mangsa dari laut ke atas jambatan menjadi tular di media sosial.

  • oleh
  • Advertisement