Anda di sini

Kerajaan utamakan kemudahan infrastruktur

Advertisement
 Jamawi (empat dari kiri) bersama pegawai kanan LPBB meninjau pelan pembinaan pekan baharu Kemabong.
TELITI: Jamawi (empat dari kiri) bersama pegawai kanan LPBB meninjau pelan pembinaan pekan baharu Kemabong.

KEMABONG: Penambahbaikan dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur asas untuk rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar akan terus menjadi keutamaan kerajaan pada hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira akses kepada infrastruktur asas yang merupakan hak asasi semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

Menurut beliau sebagai wakil rakyat yang dipilih, amanah itu perlu digalas dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan kawasan Kemabong khususnya tidak ketinggalan dari aspek pembangunan meskipun terletak di kawasan pedalaman.

Katanya, kemudahan infrastruktur jalan raya, perumahan, bekalan elektrik dan air adalah penting untuk kesihatan serta perkembangan sosiobudaya rakyat dan menjadi sebahagian daripada asas utama kesejahteraan ekonomi negara.

“Keutamaan akses kepada infrastruktur asas di kawasan luar bandar membolehkan pengagihan kekayaan yang lebih saksama dan pada masa sama, secara tidak langsung memudahkan pertumbuhan ekonomi setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek yang bakal dan sedang dilaksanakan di kawasan Kemabong, baru-baru ini.

Antara projek yang sedang dan bakal dilaksanakan yang beliau lawati ialah tapak pelaksanaan Pekan Baharu Kemabong, pembinaan 12 pintu Kiosk Kraftangan termasuk sebuah menara berupa replika 'buyung' di

Dataran Kemabong, pembinaan parit konkrit di Taman Tandas Ontoros dan pembinaan tandas awam di Dewan Ontoros/Litar Motorcross/ MX Kemabong.

Projek lain yang bakal dilaksanakan ialah naik taraf tandas awam gelanggang futsal Kemabong dan naik taraf tandas awam Pekan Kemabong.

Selain itu, Jamawi juga sempat meninjau kerja menaik taraf jalan masuk ke SMK Chinta Mata serta ziarah keluarga yang baru mendapat bantuan rumah di Kampung Angan-Angan Kemabong.

Jamawi berkata projek naik taraf jalan raya Mukim Ulu Tomani Kemabong dalam tempoh terdekat mula dilaksanakan di mana proses tender sudah dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

"Menyusul selepas ini ialah tender naik taraf jalan raya Kemabong ke Kampung Rundum yang telah diluluskan peruntukannya oleh kerajaan," katanya.

Menurut beliau, kerajaan akan terus menumpukan pembangunan luar bandar terutama bagi mengurangkan jurang perbezaan pembangunan antara bandar dan luar bandar.

"Apabila segala projek pembangunan ini siap dilaksanakan saya yakin dan percaya ia akan meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat khususnya di kawasan ini melalui dua sektor iaitu pelancongan dan pertanian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata kerjasama erat antara semua lapisan kepimpinan di akar umbi akan memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, perbalahan dalam pembangkang dan pewujudan begitu banyak parti politik baharu akan memberi kelebihan kepada kerajaan.

Menurutnya, apa yang penting adalah semua ahli parti terus bersatu khususnya dalam menangkis cubaan pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam parti.

Advertisement