Anda di sini

IPD Padawan komited banteras penyalahgunaan dadah

Advertisement
Aidil (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Sagah semasa kunjungan hormat tersebut semalam.
PENGHARGAAN:Aidil (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Sagah semasa kunjungan hormat tersebut semalam.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan terus komited dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dengan berjaya mencatat 522 tangkapan sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata tangkapan tersebut adalah atas kesalahan memiliki dan mengambil (menagih) dadah.

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama daripada orang ramai serta risikan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN).

“IPD Padawan pada tahun ini (sehingga semalam) berjaya membuat tangkapan seramai 142 orang di bawah kesalahan memiliki dadah dan 380 orang di bawah kesalahan mengambil dadah.

“Usaha membanteras kegiatan jenayah berkaitan dadah ini akan terus diperhebatkan dan kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat dapat terus menyalurkan kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Selain itu, Aidil turut memberitahu bahawa indeks jenayah bagi tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 66 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Justeru kita di sini akan melakukan perancangan bagi menyelesaikan kes-kes jenayah dan mengharapkan indeks jenayah akan mencatat penurunan selepas ini,” katanya.

Terdahulu Aidil menerima kunjungan hormat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat yang juga Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Tujuan lawatan adalah mengeratkan silaturahim selain berbincang dan mendengar taklimat berkaitan indeks jenayah, tangkapan aktiviti dadah serta keadaan keselamatan di kawasan Padawan khasnya kawasan Tapah, Beratok dan Siburan.

Hadir sama Setiausaha Sulit Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Kaunselor Michael Chin Apau, Kaunselor Barnabas Kulor Koaz, Kaunselor Julias Aud dan Kaunselor Neuchlos Jub.

  • oleh
  • Advertisement