Anda di sini

Hentikan aktiviti di tanah yang dipertikaikan

Advertisement
Lee (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan ASP Abdul Rahim Abdullah (kanan) dan Ketua Cawangan Khas IPD Kota Samarahan ASP Mohamad Ibrahim Jalaludin (kiri) pada sidang media tersebut.
HENTIKAN AKTIVITI:Lee (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan ASP Abdul Rahim Abdullah (kanan) dan Ketua Cawangan Khas IPD Kota Samarahan ASP Mohamad Ibrahim Jalaludin (kiri) pada sidang media tersebut.

KOTA SAMARAHAN: Penduduk kampung bersama sebuah syarikat yang terbabit dalam pertikaian tanah di Kampung Tembirat, Asajaya dimohon menghentikan sebarang aktiviti di tanah seluas 57.4 hektar tersebut untuk sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata, cadangan itu adalah untuk memberi ruang kepada pasukan peguam kedua-dua pihak menjalankan siasatan berkaitan hak pemilikan tanah tersebut.

“Kita mohon kedua-dua pihak mengambil tindakan mahkamah berkaitan hak pemilikan tanah yang sedang dipertikaikan kerana kami (polis) tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikannya, cuma di sini kami menekankan isu keselamatan dan ketenteraman awam.

“Justeru, kami menasihati kedua-dua pihak agar menghentikan dahulu sebarang aktiviti di tanah tersebut kerana kami tidak mahu berlaku konfrontasi yang boleh mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.

“Sebaik-baiknya, peguam kedua-dua pihak berbincang menyelesaikan pertikaian tersebut berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu sidang media, di sini semalam.

Lee terdahulunya mempengerusikan dialog bersama penduduk kampung serta pihak syarikat berhubung pertikaian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.

“Melalui sesi dialog tadi, kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan menghentikan sementara waktu aktiviti di tanah tersebut,” jelas Lee.

Menurutnya, sebanyak 19 laporan polis diterima daripada penduduk kampung dan empat daripada pihak syarikat sejak 8 Julai lalu.

“Siasatan telah dijalankan dan ia fokus kepada perlakuan yang ada unsur-unsur jenayah,” katanya.

Lee selain itu turut menegaskan bahawa pihaknya kini dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menggugat kententeraman awam.

“Pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa dan begitu juga Unit Anti Rusuhan (PORU) kita juga sentiasa dalam keadaan bersiap sedia cuma kita mohon agar kedua-dua pihak jangan mengambil tindakan di luar batas undang-undang,” katanya.

Hadir sama pada sesi dialog tersebut ialah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Pejabat Residen serta ketua-ketua masyarakat.

  • oleh
  • Advertisement