Anda di sini

Dua bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan Sandakan

Advertisement
 Sepuluh nelayan asing ditahan oleh pasukan polis marin dalam pemeriksaan dua kapal nelayan.
TAHAN: Sepuluh nelayan asing ditahan oleh pasukan polis marin dalam pemeriksaan dua kapal nelayan.

SANDAKAN: Dua kapal nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara berjaya ditahan oleh Pasukan Polis Marin Sandakan di kawasan perairan Pulau Lankayan, dekat sini pagi semalam.

Polis Marin turut menahan sepuluh lelaki warga Vietnam berumur 20 tahun hingga 40 tahun yang merupakan kru kapal berkenaan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Pajeri Ali berkata botronda PSC 13 dan PSC 63 Pasukan Polis Marin Sandakan yang menjalankan tugas rondaan 'Op Pensura Khas' di kawasan perairan Pulau Lankayan telah mengesan dua kapal nelayan asing kira-kira jam 9.45 pagi.

Beliau berkata, apabila diminta untuk berhenti, kapal nelayan Vietnam terbabit tidak memberi kerjasama malahan telah cuba melanggar sisi sebelah kanan botronda Polis Marin sehingga boleh mendatangkan ancaman nyawa dan juga aset kerajaan.

“Aksi mengejar telah berlangsung lebih kurang setengah jam sehingga akhirnya juragan kapal memberhentikan kapal mereka dan menyerah diri.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati juragan kapal terbabit telah menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda, dan RM100,000 dalam hal setiap anggota kru,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mereka boleh disabitkan mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan perikanan yang tidak dilesenkan.

“Juragan dan kru kapal juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia dan boleh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Katanya, kapal nelayan bersama peralatan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,620,000 ditahan dan diiringi ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.

Mohamad Pajeri berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengatur gerak aset pasukan bersama pegawai dan anggotanya menjalankan rondaan dan operasi di perairan bagi memastikan perairan negara selamat dan tidak sewenang-wenangnya diceroboh oleh anasir luar yang mengaut hasil perikanan negara secara menyalahi undang-undang.

“Pasukan Polis Marin Sabah akan terus memerangi pencerobohan nelayan asing di perairan Sabah khususnya,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat nelayan setempat juga dapat bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat untuk membanteras pencerobohan nelayan asing yang merugikan negara.

  • oleh
  • Advertisement