Anda di sini

Terapkan semangat patriotisme kalangan pelajar

Advertisement
 Kembara Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.
KONVOI: Kembara Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

LABUAN: Situasi ketika ini menuntut seluruh rakyat Malaysia berusaha keras menyemai tolak ansur dalam hubungan di kalangan pelbagai kaum melalui semangat patriotisme dan hormat-menghormati demi membentuk masyarakat cinta perpaduan dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan negara.

Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin berkata, warga pendidik perlu mengambil peranan lebih proaktif menerapkan semangat patriotisme yang lebih mendalam agar pelajar dapat menjiwai peranan mereka sebagai agen sosialisasi.

“Bagaimanapun, terdapat  banyak kekangan untuk menerapkan patriotisme di kalangan generasi muda, usaha perlu diteruskan khususnya melalui pendidikan kenegaraan sejak peringkat persekolahan asas,” katanya.

Raisin berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Merdeka @ Komuniti dan Penutupan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 Peringkat W.P Labuan di SMK Rancha Rancha semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Labuan Asbola @ Hasbollah Amit.

Terdahulu, satu perarakan Kembara Merdeka Jalur Gemilang melibatkan pelbagai jabatan serta badan NGO dijalankan sejauh kira-kira 12km dari bandar Labuan ke sekolah berkenaan.

Raisin berharap kalangan pelajar pelbagai kaum dan agama dibimbing untuk terus berinteraksi dalam apa juga ruang atau aktiviti sekolah demi menyuburkan nilai-nilai perpaduan dalam kehidupan.

 Asbola (tengah) kempen kibar Jalur Gemilang.
KOMUNITI: Asbola (tengah) kempen kibar Jalur Gemilang.

Raisin menegaskan, meskipun perpaduan sudah terjalin namun usaha memupuk dan menjaga semangat muhibah perlu dilaksanakan sebagai bekalan mereka mengendalikan teraju negara pada masa hadapan.

Hadir sama Pengarah Penerangan Labuan; Supian Musa, Pengetua SMK Rancha Rancha; Yahya Ahmad Putih, Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia WP Labuan; Simsudin Sidek dan Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon WP Labuan; Salim Abdul Rahman.

  • oleh
  • Advertisement